Sunday, 3 August 2014

Pena dan Penulisan


Berkali juga berfikir.

Bukan dua kali, tidak juga 3 kali. Berpuluh kali pun tidak.
Fikir yang ini makan hampir 8 tahun lamanya.

Menulis itu untuk apa? Untuk kepuasan atau hanya ikut-ikutan? Mereka menulis, engkau juga kepingin.

Tulisan mereka mencerah, tulisan engkau membawa padah. Apa engkau fikir, amalan engkau akan dipermudah? Memang diamnya lidah, tidak memungkinkan engkau tidak jauh dari memfitnah.

Lalu, untuk apa menulis? Dan tulisanmu untuk diapakan?

Meneliti ini seketika, Tuhanku dan Tuhanmu berkata;


"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk) (1). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, (2). Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, (3). Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, (4). Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (5)". 
-Al-'Alaq;1-5-

Juga saya merenung;

"Nuun. Demi pena dan apa yang mereka tulis"
-Al-Qalam; 1-

Dan akhirnya saya menemui pentingnya pena dan penulisan di sini;

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis diantara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya ... "
-Al Baqarah; 282-

Saya berfikir pada ketentuan pembacaan, ia melalui penulisan. Namun, penulisan juga lahir dari pembacaan yang mendalam. Maka, keduanya saling bergantung dengan adab fikir dan zikir, dan firman Tuhan yang awal mengajak Muhammad (s.a.w) merenung ma'na iqra'.

Begitulah berlakunya. 
Kisah bagaimana saya bangun pada subuh hari dan mula menulis!  

:: Nurul Nadia Abdul Rashid
Catatan Penulisan
8 Syawal 1435H
Bersamaan 4 Ogos 2014




Wednesday, 23 July 2014

Krismas & Margaret

Musim perayaan mengingatkan saya kepada Margaret, perempuan tua yang berbangsa Scottish, beragama Kristian Katolik, yang tinggal di hadapan rumah ketika berkelana di Glasgow tempoh hari.

"Did you know who will coming on your next door tonight?" Tanyanya pada saya dengan wajah ceria, pada suatu pagi sebelum Krismas.

"Oh! I did not know. Is it you?" Sengaja berpura-pura sambil mengusiknya.

"Syyyhhhh! It's a Santa! You know, with his red costume, he will give you a gift!" Bersungguh beliau menjelaskan dengan senyum yang tidak pernah lekang.

Dan pagi esoknya, terletak elok kotak-kotak hadiah di hadapan rumah. 
Begitu juga telur-telur coklat yang diberi ketika perayaan Easter.

Margaret, perempuan tua yang periang dan ceria, sentiasa tersenyum dan menghargai jiran tetangga. Darinya saya belajar toleransi, belajar memahami pegangan agama manusia lain. Beliau tunjukkan saya cara berdakwah bukan dengan jalan menghukum dan mengkafirkan orang, tetapi dengan nilai kemanusiaan yang tinggi.

Kalaulah saya masih berada di sana pada Eid Fitri ini, sudah tentu beliau orang pertama yang saya jamu dengan ketupat dan rendang.

:: Nurul Nadia Abdul Rashid
Sebahagian Catatan Kembara
24 Disember 2013
Anniesland, Glasgow, Scotland

Friday, 11 July 2014

Mencari Semula Fungsi Kewangan Berasaskan Prinsip Islam

Kritikan ke atas perlaksanaan Kewangan Islam bukanlah satu perkara baru, saya kira. Malah, kewujudannya yang konon berfungsi untuk menyelamatkan ekonomi masyarakat seolah diketawakan oleh pendukung-pendukung aliran kiri. Dalam mencari punca masalah perlaksanaan sistem kewangan Islam yang ada pada hari ini, saya tertarik dengan apa yang Prof Ahamed Kameel Mydin Meera sebutkan tentang sistem perbankan Islam yang berfungsi dalam sistem perbankan rizab pecahan (fractional reserve banking) bersama-sama perbankan konvensional. Perkara ini selari dengan apa yang saya fikirkan 4 tahun dulu, iaitu memulakan perlaksanaan kewangan Islam melalui penukaran sistem monetari/wang kepada wang komoditi, bukan wang fiat yang bersifat terapung.


Sistem perbankan rizab pecahan adalah satu proses atau cara bank-bank mencipta wang daripada deposit pelanggan-pelanggan bank. Ia berfungsi apabila En Ahmad mendepositkan wangnya ke Bank A sebanyak RM10,000 (contoh), Bank A perlu menyimpan (reserve) 10% daripada simpanan Encik Ahmad iaitu sebanyak RM1,000 dengan mengandaikan bahawa Encik Ahmad akan ingin mengeluarkan semula wangnya itu nanti (Hal ini juga terdedah kepada situasi bubble economy di mana jika semua pendeposit sepakat ingin mengeluarkan keseluruhan deposit mereka secara serentak) . Jadi, baki 90% daripada wang yang tinggal iaitu sebanyak RM9000 akan digunakan oleh bank bagi memberi pembiayaan kepada Encik Ali untuk pembiayaan aset kereta misalnya. Encik Ali perlu membayar balik kepada Bank A sebanyak RM9000 ditambah dengan kadar bunga sebanyak 7% menjadikan bayaran keseluruhan adalah RM9,630 dan ini akan meningkatkan jumlah wang yang beredar dalam ekonomi tanpa sandaran apa pun. Ini hanya contoh tradisional untuk menjelaskan bagaimana sistem perbankan rizab pecahan berfungsi. Bank-bank tidak hanya tertakluk untuk memberi pembiayaan/pinjaman sebanyak mana baki yang tinggal (dalam kes ini ialah RM9,000), malah bank boleh memberi pinjaman sehingga 10 ke 50 kali ganda.


Amat malang sekali, perbankan Islam terlibat dalam percaturan sistem ini. Malah lebih malang bank-bank Islam juga turut bertindak mengisytiharkan muflis kepada pelanggan-pelanggan bank yang tidak mampu untuk membayar balik pinjaman/pembiayaan. Ini menjadikan sistem perbankan Islam juga turut bersama-sama sistem konvensional “mencuri” kekayaan dan pemilikan harta ahli masyarakat, bukan bertindak melindunginya sebagaimana fungsinya secara teorikal. Maka, tidak hairanlah jika kita melihat perlaksanaan perbankan Islam yang ada hari ini tidak memberi natijah yang baik dalam memperkasakan ekonomi masyarakat.


Perkara inilah yang tidak mahu difahami oleh sebahagian besar penasihat-penasihat Shariah, “ustaz-ustaz” dan para eksekutif bank yang mana mereka bertindak bermati-matian masih lagi mempertahankan konsep-konsep pembiayaan bank-bank Islam secara fiqh dan bebas riba. Bukanlah persoalan-persoalan dan khilaf fiqh itu yang menjadi dasar kepada sistem perbankan yang berprinsipkan Islam, tetapi persoalan yang lebih asas di mana sistem itu berdiri dan berfungsi. Mereka ini tidak mahu cuba memahami malah tidak mahu ambil peduli pun bagaimana dengan sistem perbankan rizab pecahan ini mampu menjahanamkan ekonomi masyarakat, mengalihkan kekayaan orang miskin kepada orang kaya, mewujudkan inflasi dalam negara dan sekaligus mengurangkan kuasa beli golongan miskin. Inilah yang kerap kali saya tekankan kepada sahabat-sahabat bahawa jika bank-bank Islam mengatakan bahawa mereka telah menghapuskan riba, maka mengapa masyarakat masih merasakan penindasan dan ketidakmampuan ekonomi? Biar berapa banyak produk dan inovasi perbankan Islam diperkenalkan dan ditashihkan dengan firman-firman Tuhan mahupun hadis-hadis Nabi, selagi institusi-institusi kewangan Islam terutamanya sistem perbankan masih berdiri dalam sistem monetari ini, selagi itu perlaksanaannya akan tetap pincang dan tidak mampu memelihara apatah lagi memperbaiki ekonomi ummat.


Di sebalik kritikan ini, saya mencadangkan solusi kepada pertukaran sistem wang komoditi yang lebih kukuh dan terjamin. Namun begitu, banyak kajian yang perlu dilakukan terhadap wang komoditi supaya ia tidak menjadi satu retorik laungan slogan-slogan kosong tanpa ma’na sepertimana berlaku pada laungan “Kembali kepada Dinar & Dirham” di mana akhirnya komoditi tersebut tidak menjadi matawang, tetapi disalahanggap masyarakat sebagai barang komoditi yang dijual beli dan aset pelaburan sahaja. Walaupun perlaksanaan wang komoditi ini akan menghadapi beberapa masalah dengan perlaksanaan perdagangan antarabangsa, namun menolaknya dan mengatakan bahawa sistem wang fiat itu adalah yang terbaik bagi sistem kewangan moden zaman sekarang adalah tidak patut memandangkan sebahagian besar kebobrokan sistem ekonomi sekarang berpunca daripadanya.   


Sungguhpun begitu, kegagalan perlaksanaan kewangan berdasarkan prinsip Islam ini tidaklah boleh diletakkan di atas bahu sektor perbankan semata. Institusi-institusi kewangan yang lain seperti institusi zakat, waqaf dan Baitulmal perlu diperkasa seiring dengan kritikan ke atas perbankan ini. Ini kerana, perlaksanaan kewangan yang didasarkan kepada prinsip Islam ini merangkumi pelbagai sektor antaranya termasuklah pelaburan, perbankan, waqaf, zakat, percukaian dan pengurusan dana. Peranan institusi-institusi kewangan Islam yang lain seperti institusi zakat,, waqaf dan Baitulmal perlu diperkasa dan perlu lebih kreatif dalam pengagihan wang zakat kepada golongan asnaf. Masalah-masalah seperti ketidaktelusan pengagihan dan kerenah birokrasi dalam pengagihan wang zakat adalah 2 perkara utama yang perlu diselesaikan dengan kadar segera oleh pihak pengurusan. Alasan-alasan seperti kekangan masa dan tenaga adalah hujah lapuk yang tidak harus dijadikan sandaran walaupun realitinya begitu, kerana setiap organisasi menghadapinya, bergantung kepada cara pihak pengurusan menangani secara efektif atau tidak. Pengagihan boleh diluaskan dengan menyantuni gelandangan-gelandangan di sekitar bandar, memberikan pembiayaan pendidikan tanpa hanya memfokuskan kepada kursus-kursus agama sahaja, menyediakan satu dana khas bagi membantu golongan peminta sedekah secara berterusan dan membiayai penyelidikan—penyelidikan di institusi pendidikan. Perlaksanaan waqaf di Malaysia pula lebih bersifat kekampungan dan ia tidak mampu keluar ke peringkat nasional bagi memberi faedah kepada masyarakat terbanyak. Konsep waqaf boleh diperluaskan dengan pembinaan hospital-hospital, pembiayaan penyelidikan yang bersifat saintifik, teorikal, ataupun sosilogi (mengambil contoh Universiti Harvard), pembiayaan pendidikan tanpa menghadkan hanya kepada kursus agama dan pelbagai inisiatif lain lagi yang boleh difikirkan.


Sebagai penutup, saya ingin menekankan bahawa perlaksanaan kewangan berprinsipkan Islam ini berfungsi untuk memakmurkan ekonomi ummat, memperkasakan pengurusan kewangan masyarakat terbanyak dan merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin, bukan dengan berlumba-lumba memperkenalkan produk-produk kewangan lantas mengarabisasikannya dan mengaku bahawa ini Kewangan Islam!     


*Ini bukan artikel ilmiah. Ini hanya buah fikiran yang berterabur dicoret saat saya sedang kecewa dengan perlaksanaan kewangan berprinsipkan Islam yang ada pada hari ini. Terluah saat sedang kecewa menganalisis figura-figura peratusan inflasi di Malaysia belakangan ini. 


:: Nurul Nadia Abdul Rashid
Graduan Sarjana Muda Kewangan Islam; UniSZA
Calon Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam; UUM 

Thursday, 10 July 2014

Ibrah Dari Salam

Saya teringatkan seorang perempuan arab yang selalu benar berpapasan dengan saya bersama sepasang anaknya (lelaki dan perempuan). 

Setiap kali berpapasan, beliau selalu terlebih dahulu mengucapkan salam sambil tersenyum manis dan saya hanya membalas salam dan senyumnya itu. 


Hampir begitu setiap hari, 

selama 2 bulan. 

Kami cuma saling mengucapkan salam dan senyum, tidak sempat berbual kerana masing-masing berkejar masa. Di hari terakhir, saya fikir biarlah perempuan itu menjadi "teman salam dan senyum" yang saya akan ingati sampai bila-bila.

Sehinggalah ketika saya menaiki penerbangan pulang ke Malaysia, saya mencari-cari tempat duduk sambil tertinjau-tinjau ke hadapan. Dan entah bagaimana, saya terpandang perempuan arab itu bersama dua anaknya. Saya menyapanya terus seperti bertemu teman lama, dan dia terus merangkul tubuh saya memeluk erat, tidak menyangka "teman salam & senyum" selama ini rasa begitu dekat.
Setelah berbual, saya mencari tempat duduk dengan rasa puas.

Catatan ini bukanlah kerana riyak diri sendiri (nauzubillahiminzaalik), tetapi saya ingin memuji BELIAU YANG MULA-MULA mengajar saya tentang hebatnya kesan menyebar salam.

Sungguh benar pesan Rasul;



"Kamu tidak dapat masuk Syurga sehingga kamu beriman, kamu tidak benar-benar beriman sehingga kamu berkasih sayang (sesama musli). Mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu amalan apabila kamu lakukannya kamu akan berkasih sayang?Sebarkan salam antara kamu" 

(Riwayat Muslim no.54)


"Seutama-utama manusia bagi Allah adalah yang terlebih dahulu dalam memberi salam" 

(Riwayat Abu Dawud)



:: Nurul Nadia Abdul Rashid
Sebahagian Catatan Kembara
April-Jun 2014
Knightwoods, West End, Glasgow



Tuesday, 6 May 2014

Gereja dan Cinta

Tipulah kiranya jika selama saya berkelana di Glasgow, saya tidak pernah tertarik untuk ke gereja. 

Tipulah jika saya katakan saya tertarik tetapi saya tidak pernah menjejak masuk ke gereja. 

Gereja baptist.

Ya! Saya ke gereja baptist. Bukanlah untuk menukar agama, tetapi untuk mendengar sendiri isi penyampaian dari penganutnya. Saya fikir, dalam menilai, saya perlu adil mendengar dari sumbernya.

Engkau tahu, biarawati itu membujuk saya masuk ke gereja, dengan senyuman dan budi bahasa yang tinggi, beliau mempesonakan saya. Saya ikut masuk sambil dihidangkan teh, duduk selesa sambil mendengarnya "berdakwah" kepada saya seorang!

Beliau menceritakan perihal Tuhan dan anakNya, perihal Isa dan Maryam, perihal dosa Adam yang diwariskan dan pelbagai hal lagi. Saya hanya mendengar, cuma sesekali menyampuk bertanya soalan-soalan asas. Ketika mahu pulang, biarawati itu menjemput saya bila saya kelapangan untuk mendengar diskusi Bible pada lain hari.

Dan,

Beliau memeluk saya erat, lagak seorang ibu yang bertahun tidak berjumpa anaknya.

Jujur saya lipurkan, tidak lah saya mempelajari perihal agama Kristian sore itu. Tidak pula ia meresap ke seluruh akal budi saya. Saya masih beriman Tuhan itu Esa, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.

Cuma,

Saya mahu khabarkan pada kalian, mereka berdakwah dengan pengetahuan dan cinta!

:: Nurul Nadia Abdul Rashid
Sebahagian Catatan Kembara
6 Mei 2014
Baptist Church of Anniesland, Glasgow, Scotland

Tuesday, 29 April 2014

Catatan Kembara; Edinburgh, Scotland

Usai Subuh pada suatu pagi musim bunga, saya termenung seketika. Ralit. Sengaja membiarkan minda kosong tanpa memikirkan apa-apa. Telefon bimbit dicapai lalu terus mengajak seorang teman ke Edinburgh, ibu kota Kerajaan Skolandia dan merupakan bandar kedua berpopulasi terbesar di Scotland selepas Glasgow. Kota lama ini menyimpan seribu satu macam misteri sehingga ia terkenal dengan julukan kota berhantu.

Tepat 9.30 pagi, saya dan teman sudah terpacak di Stesen Keretapi Anniesland. Perjalanan ke Edinburgh membuaikan saya. Saya memilih untuk membaca bacaan santai karya Faisal Tehrani sambil sesekali menjeling ke luar jendela kalau-kalau ada pemandangan padang ragut yang memukau. Entah mengapa, sejak ke Dumfries tempoh hari, saya bagai ketagihan menjamu mata dengan padang ragut kehijauan dan terkadang kekuningan itu.
Dan, nah! Tidak sia-sia saya terjeling-jeling keluar. Tiba di Blackridge, terdampar padang-padang ragut dengan biri-biri yang kehitaman mukanya. Berserakan. Sekaligus bagai melantun lagu “Ba Ba Black Sheep” di kuping telinga. Bahkan, saya diberi bonus dengan keberadaan tasik biru di celah padang ragut maha luas itu. Ia masih cantik walau langit kelihatan kusam kehitaman warnanya.

 Nikmat, mata yang melihat.

Setibanya di Edinburgh, kami menapak keluar dari bangunan Stesen Waverly Edinburgh itu, langsung terus menuju Market Street mencari-cari arah ke Edinburgh Castle. Edinburgh terletak di Lothians, arah timur Bandar Glasgow atau lebih tepatnya di muara Sungai Forth yang arusnya terus mengalir ke Laut Utara. Kota lama yang penuh misteri, dari kisah pembunuhan kepada kisah kematian, ia bagai satu sumpahan laknat kehitaman yang menyimpan banyak sejarah jika dikorek satu persatu. Maka, tidak hairanlah apabila keseluruhan bandarnya (Old Town dan New Town) dinobatkan oleh UNESCO sebagai salah satu tapak warisan dunia. Perkataan “Edin” dipercayai berasal dari bahasa Cumbric yang pernah dituturkan oleh populasi kaum Votadini yang terawal mendiami kawasan itu. 
Saya dihidangkan dengan kepelbagaian ragam manusia di sepanjang High Street menuju ke Edinburgh Castle. Di bahu-bahu jalan, kelihatannya peniaga-peniaga kecil menjual pelbagai barangan, dari pakaian tradisional Scotland (tartan), selendang cashmere, pelbagai cenderamata sehinggalah kepada lukisan-lukisan pemandangan bandar Edinburgh. Suasana ini mengingatkan saya kepada kemeriahan peniaga-peniaga kecil di sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman menghala masuk ke Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.

Pemandangan New Town dari Edinburgh Castle. Kelihatan dari kejauhan muara Sungai Forth kebiruan.

Setibanya di Edinburgh Castle, saya dan teman beratur panjang untuk membeli tiket. Kedengaran dari perbualan mereka yang beratur di hadapan atau di belakang kami, bukanlah penduduk tempatan. Semuanya pelancong dari serata dunia seperti China, Nepal, Rusia, German, Perancis, Pakistan, Romania dan pelbagai lagi. Tidak hairanlah jika Edinburgh dicatatkan sebagai bandar kedua United Kingdom yang paling ramai dikunjungi pelancong selepas Kota London di England.

Kami berjalan ke pintu besar istana, menuju masuk ke dalam istana. Edinburgh Castle sangat berbeza dengan Caerlaverock Castle yang saya kunjungi di Dumfries dahulu. Ia merupakan kediaman keluarga diraja Scotland bermula dari pemerintahan King David I pada abad ke 12 dan merupakan ikon sejarah tertua bagi Kerajaan Skolandia. Antara keluarga diraja yang pernah mendiami istana ini ialah Queen Margaret (cucu perempuan King Alexander III of Scots dari sebelah ibunya) yang seterusnya mangkat di sini pada tahun 1093 dan Mary Queen of Scots yang melahirkan anak lelakinya King James IV pada tahun 1566. Namun, peranan istana ini sebagai kediaman diraja Scotland telah dialihkan sedikit demi sedikit kepada tujuan ketenteraan dan kubu pertahanan. Seterusnya, pada abad ke 17, istana ini sepenuhnya menjadi berek tentera dengan pasukan pengawal yang besar. Maka, tidak hairanlah saya disambut oleh 8 buah meriam besar yang teratur elok di sebelah kanan pintu masuknya.

Saya menapak ke tembok yang terletak meriam disampingnya, melepaskan pandangan ke luar istana. Kelihatan muara Sungai Forth jelas kebiruan airnya nun sepertinya jauh melepasi bahagian New Town Edinburgh. Saya dan teman menghala ke bahagian “Low Defences” yang menurut sejarahnya ia dibina oleh seorang ketua komander Utara Britain, Jeneral George Wade bersama arkiteknya Kapten John Romer. Bukan sahaja bahagian Low Defences, malah menara-menara di bahagian atas istana bersama kelengkapan meriam juga dibina olehnya. Jeneral Wade juga dikenang kerana binaan-binaan jalanraya di bahagian pergunungan-pergunungan Scotland untuk tujuan ketenteraan.
“Had you seen these roads before they were made,
you would hold up your hands and bless General Wade”

Kami memanjat semula tangga menuju ke laman istana yang maha luas itu. Kelihatannya di sebelah barat istana, terdapat National War Museum of Scotland yang menempatkan peralatan-peralatan perang, penceritaan kisah-kisah perang yang berlaku di Scotland (yang melibatkan Edinburgh Castle sebagai kubu pertahanan) dan patung-patung tokoh ketenteraan. Kami terus berjalan mendaki ke atas bangunan utama istana. Saya suka membayangkan situasi di situ pada masa-masa ia berfungsi. Pasti kuda-kuda diraja atau komander-komander perang berkuda pantas memanjat memasuki kawasan laman utama (Crown Square)di hadapan The Great Hall bagi menyampaikan pesan. Agak jauh juga jaraknya dari pintu pagar masuk dengan halaman utama di hadapan The Great Hall, tempat raja bersemayam.

Melepasi  Foog’s Gate, kelihatan sebuah gereja kecil di kiri jalan, menghala pemandangannya selari dengan bahagian Low Defences di bawah. Gereja yang bernama St Margaret Chapel ini dibina oleh King David I pada tahun 1130 sebagai tempat ibadat keluarga diraja. Ia dinamakan St Margaret Chapel kerana didedikasikan buat ibunya, Queen Margaret. Saya memasuki gereja kecil itu, pintu masuknya muat-muat untuk seorang dewasa melaluinya. Di dalamnya kelihatan beberapa pelancong Kristian duduk di kerusi panjang di kiri dan kanan gereja sambil membaca kitab Bible dan berdoa. Keluasan gereja ini hanya dua depa orang dewasa untuk lebarnya dan kira-kira 5 depa orang dewasa dari pintu masuk hingga  ke hadapan gerbang mimbar.

Saya kemudiannya menuju pula  ke bahagian timur yang terletaknya Half-Moon Battery, tembok tebal yang tinggi itu dibina di atas puing-puing runtuhan David’s Tower untuk mengelakkan peluru-peluru meriam sampai ke Royal Palace. Di sinilah mahkota diraja Scotland disembunyikan iaitu di dalam almari tandas di David’s Tower semasa Perang Dunia Kedua.

 
Sebahagian raja-raja Scotland

Mary, Queen of Scots
Saya masuk ke Crown Square, halaman istana bersegi empat sama di mana di bahagian utaranya terletak Scottish National War Memorial, di timurnya ialah Royal Palace, di selatannya ialah The Great Wall dan di bahagian baratnya adalah Prisons of War. Kelihatannya ramai pelancong yang bergambar di sekeliling halaman bersegi itu. Saya dan teman ikut masuk beratur ke Royal Palace di mana dipamerkan sejarah kerajaan Skolandia, kematian Queen Mary of Guise, sehinggalah kepada kelahiran King James VI. Dipamerkan juga proses pembuatan Crown Jewels yang menjadi tanda kehormat Kerajaan Skolandia. Akhir sekali, kami terpegun apabila melihat The Crown, Sword of State dan juga Sceptre yang tulen, lambang kerajaan beraja yang tertua di Kepulauan Britain. Raja Scotland yang pertama sekali memakai mahkota tersebut ialah King James V (ayahanda Mary Queen of Scots) semasa hari pertabalan isterinya Queen Mary of Guise pada tahun 1540. Mahkota yang bertakhtakan mutiara putih entah berapa butir itu kelihatannya sungguh gah dengan baldu merah meliputi keseluruhan rangka mahkota. Sayang, gambarnya tidak boleh diambil dengan seorang pekerja istana duduk memerhati di hujung sudut. Di Royale Palace juga, saya menjejak ke dalam bilik-bilik yang pernah didiami oleh keluarga diraja ini, melihat siling bilik yang bercorak mewah dengan kandil yang memberi gaya elegan kepada bilik seorang permaisuri, Mary Queen of Scots. Di The Great Hall pula, saya membayangkan betapa urusan-urusan rasmi diraja diadakan, tempat para utusan dari luar mengadap Raja Scotland dan tempat raja-raja Scotland menyampaikan titahnya. Namun, pada tahun 1650, ia ditukar fungsinya menjadi berek tentera oleh Cromwell.



Setelah penat menjelajah keseluruhan kawasan istana, kami duduk sebentar di kerusi panjang yang disediakan di bawah pohon Cherry Blossom. Angin dingin menerpa ke wajah, laju dan tajam, menyiat kulit tangan saya. Percaya atau tidak, tangan saya sudah beberapa kali terluka kerana angin tajam ini.


Kami keluar dari Edinburgh Castle setelah hampir 3 jam mengenang sejarah peperangan, kelahiran dan kematian Kerajaan Skolandia. Maka, tidak hairanlah ramai yang beranggapan bahawa Edinburgh Castle adalah antara tempat berhantu dan bermisteri di dunia dengan cerita-cerita pelbagai versi yang menakutkan. Saya senyum sahaja apabila mengenangkan kepercayaan tahyul-mahyul ini bukan saja sinonim dengan orang Melayu, tetapi juga orang-orang Barat yang terkenal dengan gaya modennya itu.

Seterusnya, kami menjelajah ke segenap Old Town di Edinburgh. Menjejaki lorong-lorong kecil di celahan bangunan membuatkan saya terimpi seperti berada di celah-celah Kota Venice di Itali. Menariknya, setiap lorong di celah-celah bangunan itu punya namanya tersendiri, kadang-kadang lurus ke hadapan, kadang kala bertangga-tangga dan berbukit. Walaupun bandarnya sibuk sesibuk Kuala Lumpur, ia tetap menampakkan ciri-ciri historikal yang unik kerana bangunan-bangunan tuanya itu. Seusai solat di Central Mosque of Edinburgh di Potterrow berdekatan dengan Universiti Edinburgh, kami menyusuri ke New Town. Old Town dan New Town hanya dihubungkan oleh sebuah jambatan panjang yang merentangi stesen keretapi Waverly Edinburgh dibawahnya dan dipanggil Waverly Bridge. Pemandangan dari atas Waverly Bridge sangat mempesonakan, menghadap ke Princess Street Garden di sebelah kirinya dan terlihat bukit-bukau nun jauh menghijau di sebelah kanannya. Kami menghala ke Princess Street Garden yang terletak tidak jauh dari Waverly Bridge. Hanya 5 minit berjalan kaki. Dari Princess Street Garden, jelas kelihatan pemandangan bangunan-bangunan lama di Old Town dari kejauhan. Sungguh, ia punyai nilai sejarah yang unik. Bangunan-bangunan tersebut ada yang dibina beberapa abad lamanya, masih tersergam gah sehingga ke hari ini.

Central Mosque of Edinburgh, Poterrow

Sekitar Old Town, Edinburgh

Di Princess Street Garden, berdiri sebuah monumen tinggi (Scott Monument) bercirikan reka bentuk Victorian Gothic. Ia dibina bagi memperingati penulis Scotland iaitu Sir Walter Scott. Beberapa kali saya terlihat-lihat bangunan-bangunan di New Town, sungguh berbeza dengan Old Town yang punya ciri klasik di seluruh bandarnya. Kelihatan juga beberapa buah tram lalu-lalang di Princess Street menghala ke Waverly Bridge.

Scott's Monument

Tidak seperti di Glasgow, kedai-kedai menjual pakaian tradisional Scotland (tartan) berderet-deret di sepanjang jalan-jalan kota Edin ini. Saya mengenang-ngenang baju kurung sebagai pakaian tradisional Melayu. Sungguh, saya lega apabila mengenangkan baju kurung masih dipakai sebagai pakaian harian (ke tempat kerja, kuliah, sekolah, kenduri). Tidak seperti tartan yang hanya dipakai ketika urusan rasmi kebangsaan dan hari-hari tertentu sahaja oleh orang-orang Scotland. Selepas ini mungkin saya perlu menerapkan dalam diri untuk mencintai baju kurung dan berbangga memakainya. 

:: Nurul Nadia Abdul Rashid
Catatan Kembara
13 April 2014
Edinburgh, Scotland

Friday, 4 April 2014

Catatan Kembara; Dumfries, Scotland

Hujung minggu tempoh hari saya habisi dengan kembara ke Dumfries, tempat paling selatan di Scotland ini, yang pernah menyaksikan beberapa siri perang ke atas Kerajaan Skolandia sebelum kurun 1200 masihi lamanya. Nama Dumfries asalnya ialah perkataan Scottish "Dun Phris" yang bermaksud kubu yang bersemak samun.


Melewati lorong-lorong kecil berturap sambil menikmati pemandangan padang ragut hijau nun sehingga mendaki ke gunung dan menjunam jauh ke bahu pantai, segar terasa sepertinya bumi dilahirkan semula. Engkau tahu, saat bunga Dafoddil menguning tumbuh meliar di sepanjang jalan, saya melihat rumah-rumah petani yang kecil berwarna krim, kadang-kadang keemasan disinari matahari, terletak elok berselang-seli di tengah padang-padang ragut itu. Kelihatan juga lembu-lembu bertompok hitam serta biri-biri yang berserakan di sekitar padang ragut maha luas itu. Mengisi perut yang berkeroncong, mungkin.


Kota kecil Dumfries dari atas The Old Bridge

Kota kecil ini terletak tidak jauh dari bandar besar Glasgow, hanya 2 jam perjalanan, namun terasa seumpama rumput-rumputnya yang hijau tidak pernah terusik, pantainya yang biru seperti baru semalam Tuhan ciptakan dan pepohon besar hijau tua di hutannya seperti menjadi pelindung alam. Kadang-kala bertembung anak-anak sungai yang mengalir deras membawa airnya yang putih bersih suci walau batu-batu kesat kecil menghalang perjalanan. Buat mereka yang gilakan gaya hidup di kota metropolitan, jelaslah Dumfries bukanlah penenang jiwa. Apalah yang ada, hanya petani-petani kecil dengan ladang-ladang besar beserta kincir-kincir air. Di kota kecilnya, betul-betul di persimpangan jalan, berdiri sebuah patung perempuan kehitaman yang mendukung bayi dan tertulis di bawahnya "The Wife of Robert Burns", seorang penyair terkenal yang pernah hidup di Dumfries sekitar tahun-tahun 1700 dahulu. Kota kecil Dumfries tidaklah sebesar Petaling Jaya, kalah sekali dengan kesibukan Kuala Lumpur pada jalan-jalan utamanya. Dumfries, hampir semuanya dipenuhi padang-padang ragut, kincir-kincir air kecil, lembah-lembah luas yang menghijau dan kadang kekuningan, lembu-lembu bertompok, juga biri-biri putih yang gebu bulunya. Di tengah kotanya, Sungai Nith mengalir perlahan kebiruan airnya menghala ke Solway Firth arah selatan. Jambatan-jambatan yang merentanginya seolah seperti merestui aliran airnya yang tenang. Antara jambatan tertua ialah Devorgilla (atau lebih dikenali "The Old Bridge") yang diambil namanya sempena nama ibu kepada salah seorang Raja Scotland, John Balliol.     


Saya menyusuri pula ke Caerlaverock, mencari sisa-sisa runtuhan Caerlaverock Castle yang pernah menjadi kubu pertahanan terkuat sekaligus kediaman bagi Sir Herbert Maxwell dan keluarganya lebih 350 tahun. Istana kecil yang berbentuk segitiga ini berparit  besar di sekelilingnya dibina pada awal abad ke 13 adalah antara istana batu yang paling awal dibina di Scotland. Ia berdekatan dengan laut kira-kira hanya 2 atau 3 kilometer sahaja. Saya membayangkan kesibukan sekitar istana ini pada tahun-tahun ia berfungsi dengan laskar-laskar yang mengangkut meriam ke sana ke mari, kuda-kuda perang dan mungkin juga beberapa orang laskar telatih bersiap-sedia dengan panah masing-masing di atas  menara tingginya, meneropong kalau-kalau musuh datang menjengah.

Caerlaverock Castle

Menuju masuk ke dalam istana, saya disambut oleh 2 buah meriam kecil, tidak pasti jenisnya. Saya melalui jambatan ke pintu depan istana, yang di bawah jambatan tersebut ada parit besar yang dipenuhi air. Di tengah-tengah istana yang berbentuk segitiga itu terdapat halaman terbuka menghala ke pemandangan belakang istana dan di bahagian selatannya pula terdapat bilik-bilik awam yang luas dan terang. Saya membayangkan betapa istana itu dahulunya dihiasi langsir-langsir baldu merah besar menutupi sebahagian jendelanya yang menghadap matahari itu, semestinya kandil-kandil bergemerlapan di segenap ruang istana. Saya memanjat tangga yang berputar-putar ke tingkat atas, terdapat ruang makan di tengahnya, di sisinya ada 2 bilik lengkap dengan satu ruang kecil di dalamnya. Mungkin tandas, fikir saya. Ke arah belakang sedikit, terdapat satu menara yang menjulang tinggi ke atas dengan tangganya yang berpusing-pusing itu, mungkin untuk meneropong musuh nun jauh di luar istana. Dikatakan, istana ini bukan sahaja berfungsi sebagai kubu pertahanan atau kediaman keluarga Maxwell, tetapi juga sebagai mahkamah, tempat bermesyuarat para ketua politik dan juga penjara. Istana ini pernah dikepung oleh orang Inggeris ketika peperangan menuntut kemerdekaan untuk orang-orang Scotland. Caerlaverock Castle akhirnya ditinggalkan pada abad ke 17 atau lebih tepatnya pada tahun 1640. Yang menariknya pada saya, walaupun istana ini mengalami keruntuhan dan dibina semula atau dibaiki dalam beberapa abad lamanya, ia tetap mengekalkan ciri-ciri binaannya yang terawal iaitu berbentuk segitiga dan berparit sehingga kini. 


Petang di Dumfries sungguh menenangkan dengan cahaya matahari merah yang seakan-akan malas untuk pergi. Langit berbalam merah-biru terasa cerah membumbungi Dumfries yang aman. Rumah-rumah kecil sekitar perkampungan di Caerlaverock membawa ke Southerness sepi sahaja. Saya terjenguk kalau-kalau ada kanak-kanak riang yang berlari ke sana sini. Sayangnya, tiada. Tinggal warga tua sahaja yang setia dan tekun berbakti pada tanah, menghasilkan gandum, jagung dan beberapa hasil tenusu. Tiada anak muda. Hampa.

Perkampungan Scots di Southerness menghadap laut 



:: Nurul Nadia Abdul Rashid
Catatan kembara  
29-31 Mac 2014
Dumfries, Scotland