Friday, 11 July 2014

Mencari Semula Fungsi Kewangan Berasaskan Prinsip Islam

Kritikan ke atas perlaksanaan Kewangan Islam bukanlah satu perkara baru, saya kira. Malah, kewujudannya yang konon berfungsi untuk menyelamatkan ekonomi masyarakat seolah diketawakan oleh pendukung-pendukung aliran kiri. Dalam mencari punca masalah perlaksanaan sistem kewangan Islam yang ada pada hari ini, saya tertarik dengan apa yang Prof Ahamed Kameel Mydin Meera sebutkan tentang sistem perbankan Islam yang berfungsi dalam sistem perbankan rizab pecahan (fractional reserve banking) bersama-sama perbankan konvensional. Perkara ini selari dengan apa yang saya fikirkan 4 tahun dulu, iaitu memulakan perlaksanaan kewangan Islam melalui penukaran sistem monetari/wang kepada wang komoditi, bukan wang fiat yang bersifat terapung.


Sistem perbankan rizab pecahan adalah satu proses atau cara bank-bank mencipta wang daripada deposit pelanggan-pelanggan bank. Ia berfungsi apabila En Ahmad mendepositkan wangnya ke Bank A sebanyak RM10,000 (contoh), Bank A perlu menyimpan (reserve) 10% daripada simpanan Encik Ahmad iaitu sebanyak RM1,000 dengan mengandaikan bahawa Encik Ahmad akan ingin mengeluarkan semula wangnya itu nanti (Hal ini juga terdedah kepada situasi bubble economy di mana jika semua pendeposit sepakat ingin mengeluarkan keseluruhan deposit mereka secara serentak) . Jadi, baki 90% daripada wang yang tinggal iaitu sebanyak RM9000 akan digunakan oleh bank bagi memberi pembiayaan kepada Encik Ali untuk pembiayaan aset kereta misalnya. Encik Ali perlu membayar balik kepada Bank A sebanyak RM9000 ditambah dengan kadar bunga sebanyak 7% menjadikan bayaran keseluruhan adalah RM9,630 dan ini akan meningkatkan jumlah wang yang beredar dalam ekonomi tanpa sandaran apa pun. Ini hanya contoh tradisional untuk menjelaskan bagaimana sistem perbankan rizab pecahan berfungsi. Bank-bank tidak hanya tertakluk untuk memberi pembiayaan/pinjaman sebanyak mana baki yang tinggal (dalam kes ini ialah RM9,000), malah bank boleh memberi pinjaman sehingga 10 ke 50 kali ganda.


Amat malang sekali, perbankan Islam terlibat dalam percaturan sistem ini. Malah lebih malang bank-bank Islam juga turut bertindak mengisytiharkan muflis kepada pelanggan-pelanggan bank yang tidak mampu untuk membayar balik pinjaman/pembiayaan. Ini menjadikan sistem perbankan Islam juga turut bersama-sama sistem konvensional “mencuri” kekayaan dan pemilikan harta ahli masyarakat, bukan bertindak melindunginya sebagaimana fungsinya secara teorikal. Maka, tidak hairanlah jika kita melihat perlaksanaan perbankan Islam yang ada hari ini tidak memberi natijah yang baik dalam memperkasakan ekonomi masyarakat.


Perkara inilah yang tidak mahu difahami oleh sebahagian besar penasihat-penasihat Shariah, “ustaz-ustaz” dan para eksekutif bank yang mana mereka bertindak bermati-matian masih lagi mempertahankan konsep-konsep pembiayaan bank-bank Islam secara fiqh dan bebas riba. Bukanlah persoalan-persoalan dan khilaf fiqh itu yang menjadi dasar kepada sistem perbankan yang berprinsipkan Islam, tetapi persoalan yang lebih asas di mana sistem itu berdiri dan berfungsi. Mereka ini tidak mahu cuba memahami malah tidak mahu ambil peduli pun bagaimana dengan sistem perbankan rizab pecahan ini mampu menjahanamkan ekonomi masyarakat, mengalihkan kekayaan orang miskin kepada orang kaya, mewujudkan inflasi dalam negara dan sekaligus mengurangkan kuasa beli golongan miskin. Inilah yang kerap kali saya tekankan kepada sahabat-sahabat bahawa jika bank-bank Islam mengatakan bahawa mereka telah menghapuskan riba, maka mengapa masyarakat masih merasakan penindasan dan ketidakmampuan ekonomi? Biar berapa banyak produk dan inovasi perbankan Islam diperkenalkan dan ditashihkan dengan firman-firman Tuhan mahupun hadis-hadis Nabi, selagi institusi-institusi kewangan Islam terutamanya sistem perbankan masih berdiri dalam sistem monetari ini, selagi itu perlaksanaannya akan tetap pincang dan tidak mampu memelihara apatah lagi memperbaiki ekonomi ummat.


Di sebalik kritikan ini, saya mencadangkan solusi kepada pertukaran sistem wang komoditi yang lebih kukuh dan terjamin. Namun begitu, banyak kajian yang perlu dilakukan terhadap wang komoditi supaya ia tidak menjadi satu retorik laungan slogan-slogan kosong tanpa ma’na sepertimana berlaku pada laungan “Kembali kepada Dinar & Dirham” di mana akhirnya komoditi tersebut tidak menjadi matawang, tetapi disalahanggap masyarakat sebagai barang komoditi yang dijual beli dan aset pelaburan sahaja. Walaupun perlaksanaan wang komoditi ini akan menghadapi beberapa masalah dengan perlaksanaan perdagangan antarabangsa, namun menolaknya dan mengatakan bahawa sistem wang fiat itu adalah yang terbaik bagi sistem kewangan moden zaman sekarang adalah tidak patut memandangkan sebahagian besar kebobrokan sistem ekonomi sekarang berpunca daripadanya.   


Sungguhpun begitu, kegagalan perlaksanaan kewangan berdasarkan prinsip Islam ini tidaklah boleh diletakkan di atas bahu sektor perbankan semata. Institusi-institusi kewangan yang lain seperti institusi zakat, waqaf dan Baitulmal perlu diperkasa seiring dengan kritikan ke atas perbankan ini. Ini kerana, perlaksanaan kewangan yang didasarkan kepada prinsip Islam ini merangkumi pelbagai sektor antaranya termasuklah pelaburan, perbankan, waqaf, zakat, percukaian dan pengurusan dana. Peranan institusi-institusi kewangan Islam yang lain seperti institusi zakat,, waqaf dan Baitulmal perlu diperkasa dan perlu lebih kreatif dalam pengagihan wang zakat kepada golongan asnaf. Masalah-masalah seperti ketidaktelusan pengagihan dan kerenah birokrasi dalam pengagihan wang zakat adalah 2 perkara utama yang perlu diselesaikan dengan kadar segera oleh pihak pengurusan. Alasan-alasan seperti kekangan masa dan tenaga adalah hujah lapuk yang tidak harus dijadikan sandaran walaupun realitinya begitu, kerana setiap organisasi menghadapinya, bergantung kepada cara pihak pengurusan menangani secara efektif atau tidak. Pengagihan boleh diluaskan dengan menyantuni gelandangan-gelandangan di sekitar bandar, memberikan pembiayaan pendidikan tanpa hanya memfokuskan kepada kursus-kursus agama sahaja, menyediakan satu dana khas bagi membantu golongan peminta sedekah secara berterusan dan membiayai penyelidikan—penyelidikan di institusi pendidikan. Perlaksanaan waqaf di Malaysia pula lebih bersifat kekampungan dan ia tidak mampu keluar ke peringkat nasional bagi memberi faedah kepada masyarakat terbanyak. Konsep waqaf boleh diperluaskan dengan pembinaan hospital-hospital, pembiayaan penyelidikan yang bersifat saintifik, teorikal, ataupun sosilogi (mengambil contoh Universiti Harvard), pembiayaan pendidikan tanpa menghadkan hanya kepada kursus agama dan pelbagai inisiatif lain lagi yang boleh difikirkan.


Sebagai penutup, saya ingin menekankan bahawa perlaksanaan kewangan berprinsipkan Islam ini berfungsi untuk memakmurkan ekonomi ummat, memperkasakan pengurusan kewangan masyarakat terbanyak dan merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin, bukan dengan berlumba-lumba memperkenalkan produk-produk kewangan lantas mengarabisasikannya dan mengaku bahawa ini Kewangan Islam!     


*Ini bukan artikel ilmiah. Ini hanya buah fikiran yang berterabur dicoret saat saya sedang kecewa dengan perlaksanaan kewangan berprinsipkan Islam yang ada pada hari ini. Terluah saat sedang kecewa menganalisis figura-figura peratusan inflasi di Malaysia belakangan ini. 


:: Nurul Nadia Abdul Rashid
Graduan Sarjana Muda Kewangan Islam; UniSZA
Calon Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam; UUM 

No comments:

Post a Comment