Wednesday, 11 March 2015

Tenang.. Telaah..

Dia berlari anak, tangkas langkahnya menaiki tangga. Dadanya berombak, jelas nafasnya kedengaran menghela sambil matanya meliar, mencari kelibat temannya di sekitar perpustakaan itu. Nah! Di celahan rak buku, dia terlihat Nuraisya, gadis kecil yang kelihatan lucu terjengket-jengket mencapai buku di rak yang tinggi. Segera dia meluru, menarik tangan Nuraisya. Tidak sampai 2 minit, dia dan Nuraisya sudah duduk-duduk di meja tersorok hujung sekali, jauh dari siswa lain yang sedang enak membaca di ruangan awam yang terbuka.

“Aku buntu”

Dia melepaskan dengan hela nafas yang berat. Ada sisa air mata di hujung kelopak. Nuraisya mengerut dahi seakan bertanya mengapa.

“Keputusan peperiksaanku untuk subjek Islamic Economy ditandai D oleh Dr Ahmed. Hanya kerana aku selalu menyanggah hujahnya di kuliah? Tak rasional langsung!”. Marahnya berapi.

“Kau mahu nasihat, atau kau mahu aku hanya mendengar?” Lambat-lambat butir perkataan keluar dari mulut Nuraisya.

“Keduanya”.

Nuraisya memperkemaskan letak duduknya, menghadap dengan benar sekali.

“Kau tahu, Imam Ghazali mengatakan sabar adalah ciri khas milik manusia dan tidak dimiliki oleh haiwan atas sifat-sifat kekurangannya, dan tidak pula dimiliki oleh malaikat atas sifat-sifat kesempurnaannya sebagai hamba yang paling taat kepada Allah”.

“Dari mana kau cedoknya?”

“Ihya’ Ulumuddin”.

“Maka, maksud kau, sabar itu sifat istimewa bagi manusia?”

“Ia bukan saja istimewa. Tapi, ia menunjukkan bahawa kau manusia, bukan malaikat atau binatang”.

“Tajam benar kau menasihati” Dia mencebik bibir sambil memandang ke luar tingkap pustaka itu. Sesekali mengelap sisa air mata dengan hujung jarinya.

“Mahu dengar lagi?” Nuraisya sekadar berbasa-basi meminta perhatian.

“Mendengar”

“Kau tahu, di kuliah aku tadi, Syaikh Dr ‘Amr el Wardany ada mensyarahkan tentang sabar”

“Lalu, apa sabar menurutnya?”

“Kata Syaikh, sabar itu ada 3 pecah, sabar melakukan taat, sabar meninggalkan maksiat dan sabar dengan takdir yang menguji. Aku fikir kau perlu aplikasikan sabar yang ketiga, di samping kau terus juga berjuang untuk nyatakan kebenaran, bukan sabar semberono jika ada yang mahu menindas. Bukankah kau juga sering ulang-ulang kata Soe Hok Gie itu?”

“Kata yang mana?” Tanyanya kebodohan.

“Apa yang lebih puitis selain bicara tentang kebenaran!”

Sengaja Nuraisya menekankan sedikit perkataan ‘kebenaran’ itu, geram melihat temannya sedikit terpinga-pinga kebodohan, walhal itulah ungkapan yang sering saja diucap-ucap.

Ada beberapa pasang mata di celah-celah rak buku itu tertoleh ke arah mereka dengan riak wajah memberi amaran untuk diam. Segera Nuraisya tersengih seraya mengangkat tangan, bicara memohon maaf secara bisu. 

“Jadi, kau mahu aku berjumpa Dr Ahmed dan bicara padanya, bahawa jawapanku walau tidak selari dengannya, adalah jawapan yang layak juga mendapat markah yang sepatutnya?”

“Kau tidak perlu bertanya itu kepadaku. Ya, terserah. Tindakan itu bergantung kepada kau. Tapi, fikiran kau hendaknya perlu bersih dahulu jika kau mahu bicara padanya”. Suara Nuraisya kendur semula.

“Maksud kau?”

“Beliau guru, kau tetap anak. Walau khilaf sejauh mana pun beliau, menurut pendapat kau, kau perlu ada adab berhadapan dengannya, lagi pula ia melibatkan hal ilmu, bukan perang emosi tak menentu. Itu aku kira jelas”.

Dia menarik muka, sekali lagi mencebik bibir, lalu  berkata;

“Ah! Beliau sendiri kurang adil dalam memberi markah. Masakan jawapanku tidak kena pada fikirannya terus dirasakan salah 100 peratus, sedangkan… sedangkan bidang ini masih banyak ruang lingkup perbahasan yang belum selesai, dan jawapanku adalah salah satu perbahasan untuk mengimbangi!”.

Marahnya kembali datang. Kecamuk fikirannya. Manakan tidak, jika difikir-fikir, masakan dia boleh bergraduasi tahun ini jika subjek tersebut perlu diulang ambil semester hadapan kerana ia subjek ‘istimewa’ yang secara teknikalnya wajib lulus dengan keputusan minimum B minus. Itu perjanjian fakultinya dengan satu badan pendidikan profesional dalam bidangnya. Bukan itu sahaja punca marahnya, yang lebih besar lagi, adalah keterbukaan seorang guru untuk dikritik dan berbeda pendapat dengan muridnya, itu yang harus dipersoal. Terngiang pula di telinganya catatan Soe Hok Gie yang juga sebal dengan gurunya,

“Guru yang tak tahan kritik, boleh masuk keranjang sampah”. Lagi pun, guru bukan dewa dan selalu benar, murid bukan kerbau. 

Monolognya sendirian, mencari hujah menyokong punca marahnya.  

Dia memandang sekeliling bagi memastikan suaranya tidak mengganggu. Kelihatan seorang dua pelajar sedang memegang beberapa buah buku di rak-rak itu, ada yang tercangak, mendongak-dongak mencari nombor siri buku di sekitar. Nun di sana pula ada siswa lelaki Melayu sedang membaca, tenggelam dalam dunia sendiri dengan buku “What is Wrong with Islamic Economics” karya M. Akram Khan. Dia ingat sangat, dia pernah membacanya beberapa bulan lepas. Masakan tidak, dengan hujah Akram Khan lah dia menempeknya dalam jawapan peperiksaannya yang mana berlawanan prinsip itu dengan pensyarah Islamic Economic nya. Matanya berakhir ke Nuraisya, dan dia membuka mulut setelah diam agak lama.

“Tidakkah dengan berbeza pendapat akan mengembangkan lagi idea fikiran? Bukankah kerana pandangan dan kritikan Aristotle pada teori Plato, sang gurunya itu, tentang idea, telah memunculkan satu pemikiran baru dan pengembangan sains? Nah! Itu menunjukkan bahawa perbezaan pendapat membawa kepada pengembangan ilmu! Dr Ahmed tidak berhak menentukan apa yang benar dan apa yang salah di waktu perbahasan dalam bidang ini masih menjadi tanda tanya. Aku cuma mahu mewujudkan budaya kritis ilmu, yang seringkali kita sudah lupakan dalam kuliah-kuliah kita!” Marahnya makin berapi, mencerlang matanya merenung Nuraisya di hadapan. 

“Inilah yang aku risaukan”.

“Apa?” Lekas sungguh dia bertanya.

“Juang kau itu bernada salah. Kau ingin bertindak dengan jalan yang tidak patut, walaupun niat kau benar”

“Sebentar tadi kau suruh aku tidak harus diam. Kemudian kau katakan tindakan aku salah pula”. Dia menyimpul kata-kata Nuraisya dari awal. Meminta penjelasan.

“Benar. Aku tidak suruh kau diam dan kononnya bersabar menerima takdir, bahawa kau tidak mungkin bergraduasi tahun ini. Tapi, aku juga tidak minta kau tegakkan kebenaran dengan jalan marah dan tiada adab. Itu jelas aku kira. Dan nada kau sebentar tadi penuh rasa ego di dada ”.

Nuraisya kelihatan serius, kemudian menyambung lagi;
“Amat kontradik bagi seseorang yang mencintai kebenaran tetapi bersikap seolah-olah membenci jalan yang membawa kepada kebenaran itu sendiri. Di mana sikap kau?”. Nuraisya sedikit menyindir.

“Jadi, sikap aku yang keras selama ini salah? Aku berusaha menelaah semata-mata untuk melawan kesalahfahaman dalam bidang aku. Bukankah itu satu bukti kecintaan?”

“Nah! Jika selama ini kau menelaah kerana mahu melawan dengan rasa emosi yang meluap-luap, aku fikir kau sudah jauh dari tujuan pendidikan itu sendiri. Kerana itu, kita ummat yang telah kehilangan adab pada disiplin ilmu dan guru. Kita menelaah bukan untuk melawan, tapi untuk tahu, faham dan fikir penyelesaian”. Nuraisya bersuara halus dengan pernyataan yang agak tegas.

“Lalu, menurut kau apa tujuan pendidikan, kalau aku dihalang untuk melawan?” Dia bertanya untuk sekadar memancing angin Nuraisya, kemudian bersuara lagi;

“Apa yang diajar oleh pensyarah-pensyarah dan guru-guru sekolah tidaklah semuanya harus ditelan sahaja, melainkan perlu disaring, ditapis berkali-kali. Lagi pula, pada zaman sekarang, ilmu sudah pun bercampur dengan segala macam pengaruh ideologi dan tamadun, sudah tidak tulen lagi. Sistem pendidikan kita sudah bobrok tahu”.

“Tidak ada pun halangan untuk kau dan guru kau berbeza pendapat”.

“Jadi?” Dia segera memintas dan tersenyum mengejek, seakan rasa menang.

“Namun, perlu diperhatikan bahawa telaah kita bukan untuk melawan tidak tentu hala. Itu beda! Ya! Aku setuju saja bahawa tidak semuanya kita harus serap semberono. Kerana tujuan pendidikan itu sendiri adalah untuk memastikan perkembangan fizikal insan bertumbuh dengan baik, di samping pertumbuhan intelek juga dimasukkan ke dalamnya. Lagi pula, perkembangan intelek itu kita peroleh dari pemupukan sifat berfikir. Akal itu, menurut Hamka seperti yang disebut dalam Tasawuf Moden, perlu bekerja keras untuk menentukan kebaikan dan keburukan atau keadilan dan kezaliman. Al-Quran juga menjelaskan hal yang sama. Masakan kau lupa kuliah tafsir yang kita hadiri bulan lepas? Kata ustaz, konsep ya’qilun, yatafakkarun dan yatadabbarun memperlihatkan kepada kita bahawa Islam menekankan aktiviti berfikir, berfikir secara mendalam dan berfikir untuk meraih kebenaran tentang Pencipta”.

Nuraisya senyum, berhenti sejenak cuba-cuba melihat reaksi dia, menghela nafas dan kembali bersuara;

“Dan tujuan pendidikan yang ketiga menurut Islam adalah untuk pembangunan spiritual insan, meliputi dimensi keimanan dan fitrah manusia. Keduanya berkait rapat dalam penyerahan diri kepada Tuhan, meyakini dan merealitikannya melalui akhlak yang baik. Ketiga-tiga tujuan yang aku sebutkan tadi akhirnya akan membawa kita kepada tujuan yang paling utama aku kira, iaitu memastikan pertumbuhan dan perkembangan peribadi yang seimbang. Seperti yang Al-Attas sebutkan, tujuan pendidikan adalah untuk melahirkan insan yang baik, di mana semua potensi seseorang dibangunkan secara seimbang dan dibentuk untuk menjadi bukan sahaja khalifah, tetapi juga berjiwa hamba!”.

Nuraisya mengembalikan paku buah kerasnya. Pada Nuraisya, seseorang yang berilmu itu lembut peribadinya dan molek sifatnya kerana ilmu itu sendiri bersifat menyuluh kepada jalan kebenaran. Jika benar seseorang itu mengaku berilmu, maka rasionalnya ia akan menterjemahkannya dalam bentuk peribadi diri seseorang itu. Dan melawan membabi buta dengan tiada adab, semestinya bukan cara kita. 

Dia termangu, berfikir-fikir dan mengerut dahinya. Matanya kadang mencerun ke arah Nuraisya.

“Maka, menurut kau, bagaimana aku bersikap selama ini?” Suaranya mengendur, rasa kalah barangkali.

“Aku bukan siapa-siapa untuk menghakimi sikap kau. Jika apa yang aku katakan sebentar tadi buat kau rasa terpukul, semestinya kau sendiri telah tahu bagaimana kau bersikap dengan guru kau”. Nuraisya menjawab halus, mendatar.

Dia diam. Bungkam. Sikapnya yang selama ini terburu-buru melawan, berhujah dengan sebebasnya, egonya tinggi kadang-kadang menghujam pendapat gurunya. Sampaikan, seringkali dia mempamerkan sikap yang tidak-tidak terhadap Dr Ahmed, bukan sikap seorang murid pastinya. Bukan itu sahaja, selalu juga dia mengejek-ejek sarjana lain yang tidak sependapat.

Ah! kata Nuraisya sangat menyentap, mencerah fikrahnya, bahawa apa yang ditelaah selama ini tidak menjadikannya seorang yang berbudi dan berjiwa hamba, jauh sekali layak untuk menjadi pemimpin.

“Kita anak muda, mudah saja terpengaruh, cepat terkagum pada sikap Barat yang mahu rasa lepas bebas memberi pendapat. Jika mereka membaca untuk melawan, kita membaca dengan nama Tuhan. Itu beda”. Nuraisya seraya memujuk. Dia masih diam.

“Tenang. Telaah”. Nuraisya menoktahkan.



Monday, 9 March 2015

Bahasa Melayu di Universiti: Satu Harapan untuk Merdeka


“Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?”
Abdullah Munsyi (1882); Hikayat Abdullah

Perihal pemartabatan Bahasa Melayu bagi menjadikannya sebagai  bahasa tinggi bukanlah satu cetusan idea yang baru. Namun, isunya yang kadang tenggelam-timbul dan diselang-seli desakan dari pakar-pakar bahasa, segelintir ahli akademia kecil dan sekumpulan kecil masyarakat awam, menunjukkan bahawa perihal mengangkat darjat bahasa ini ke tempat yang selayaknya tidak pernah diambil perhatian serius oleh pimpinan kerajaan. Ironinya, masyarakat kita selalu benar disogok dengan peneguhan jati diri bangsa Melayu dengan hanya sekadar salutan ciri fizikal dari luar tanpa penerapan nilai dan budaya sebagai intinya. Akibatnya, kita tidak pernah akan berjaya mendidik bangsa kita menjadi bangsa yang unggul dan merdeka sifatnya, maka selamanya kita akan terperangkap dalam kerangka “pengguna” ilmu dan membontoti falsafah pemikiran ilmu asing secara membuta-tuli.
            Sebelum mengulas lebih panjang, penulis ingin memberi pendefinisian beberapa kata kunci dalam skop yang mahu dibahaskan. Bahasa adalah medium penyampaian dan komunikasi manusia, di mana insan boleh menterjemahkan inti pemikirannya dan kerangka alam bangsanya melalui bahasa yang dipertuturkan[1]. Sapir-Whorf pula mengatakan bahawa bahasa berfungsi untuk mendefinisikan kehidupan manusia itu sendiri, bukan sekadar menjadi alat untuk berkomunikasi dalam kehidupan[2]. Penulis berpendapat bahawa setiap bahasa adalah unik dan memiliki ketinggian nilainya yang tersendiri dan bisa mengungkap pandang alam sesuatu bangsa tersebut. Ini kerana, bahasa manusia adalah salah satu ciri yang membentuk jati diri individu[3] yang diilhami oleh Tuhan sekaligus membezakannya dengan haiwan yang tidak berakal.
Istilah “universiti” pula digunapakai secara meluas pada dasawarsa ini memperlihatkan sebuah pusat kecendekiawanan yang padanya dipusatkan segala ilmu pengetahuan dalam pelbagai cabang. Namun, perlu dijelaskan bahawa universiti tidaklah tertakluk semata hanya kepada ciri fizikal sebuah institusi lengkap dengan prasarana awam seperti mana yang difahami sekarang. Universiti adalah tempat aktiviti keilmuan dibincangkan, dipelajari dan didalami oleh sekumpulan individu[4] yang mahu berfikir. Oleh yang demikian, universiti dan hal keilmuan tidak dapat dipisahkan dan tidak boleh dibicarakan secara terasing. Meskipun universiti-universiti di Malaysia sedang menghadapi krisis berat dalam hal politisasi dan komersialisasi[5] dan ini sedikit sebanyak telah mencalar perihal keilmuan universiti, ia tetap dianggap sebagai kubu intelektual dan pusat pembinaan jiwa-jiwa muda yang laparkan ilmu. Universiti sebagai sebuah pusat ilmu bukan sahaja berperanan dalam pengkajian ilmiah dan pencapahan ilmu-ilmu dalam membangunkan negara bangsa, malah tanggungjawab utama universiti yang sering dilupakan ialah membantu anak-anak muda negara mencapai proses kematangan, mengenal dan memahami hakikat jati diri[6], sekaligus menjadi manusia merdeka. Erti “merdeka” pula dari segi bahasanya adalah bebas, tidak terikat dan tidak dibelengu mana-mana kuasa asing. Secara istilahnya, rata-rata memahami makna merdeka adalah kebebasan negara daripada kuasa asing dalam aspek geografi, pemerintahan dan dasar ketenteraan atau secara ringkasnya dekolonisasi. Persoalan-persoalan tentang merdeka dan perihal kemerdekaan bukanlah satu perkara baru dalam akal budi masyarakat yang sedar. Sebagai contohnya, ramai yang mencabar makna merdeka dari aspek hak asasi dan demokrasi, pengamalan agama-agama lain selain Islam dan pelbagai lagi. Ini meruntun penulis supaya mendefinisikan semula makna merdeka dari sudut yang penulis fahami. Selain aspek geopolitik secara fizikal, penulis berpendapat bahawa merdeka haruslah diberi maknanya meliputi seluruh ruang epistemologi masyarakat kita, dalam ruang lingkup yang lebih luas merangkumi sisi ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan bahasa. Dengan kata lainnya, untuk merdeka, sistem kita haruslah dibina atas pemikiran dan falsafah tulen masyarakat kita.
Melihat kepada 3 perkataan yang didefinisikan tadi, inilah skop yang mahu penulis bahaskan, bahawa Bahasa Melayu perlu diangkat menjadi bahasa pengantar utama di universiti-universiti secara praktisnya dan dijadikan bahasa ilmu secara konseptualnya dalam ruang lingkup yang lebih besar seiring dengan laungan merdeka secara hakikatnya.


Sorotan Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan Negara
            Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan geopolitiknya pada tahun 1957, beberapa usaha seperti Laporan Barnes yang melahirkan penggubalan Ordinan Pelajaran 1952 dan seterusnya Laporan Penyata Razak 1956 ditubuhkan bagi mengkaji semula sistem pendidikan di Tanah Melayu dan mengasaskan perlaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan, memperlihatkan kesungguhan yang meyakinkan dalam meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah dan menengah. Ini diikuti dengan penggubalan Akta Pelajaran 1961 era pasca merdeka yang bertujuan untuk melahirkan masyarakat majmuk yang bersatu-padu. Oleh yang demikian, akta ini menggariskan (1) Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan, serta (2) penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama bagi semua sekolah.
Pemartabatan Bahasa Melayu juga tidak sekadar terhenti di peringkat rendah dan menengah, tetapi dirancakkan ke peringkat tinggi. Umum mengetahui, penubuhan Badan Penterjemah di Pejabat Karang-Mengarang, Sultan Idris Training College di era 1920-an hingga penghujung 1960-an meninggalkan kesan besar dalam arena penterjemahan dan persuratan Melayu[7]. Sehinggalah menjelang era Dasar Ekonomi Baru (DEB) sekitar tahun-tahun 1971-1990, Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar sepenuhnya secara sempurna dari peringkat rendah hinggalah ke pengajian tinggi melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bukan sahaja sebagai bahasa pengantar, malah, Bahasa Melayu dijadikan salah satu jurusan pengajian (sejarah, linguistik dan budaya) di universiti-universiti awam Malaysia.
Namun, dalam rempuhan globalisasi pada era-era sains dan teknologi, Bahasa Melayu kehilangan fungsinya apabila kerajaan melaksanakan dasar Pembelajaran & Pengajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada awal tahun 2003. Tindakan ini seperti melacurkan bahasa ibunda hanya kerana pesona sains dan teknologi terhadap Barat. Pengalaman selama 7 tahun dalam dasar ini telah mengakibatkan  tidak sedikit anak-anak bangsa yang keciciran pelajaran terutamanya dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Akhirnya, dasar PPSMI dimansuhkan dan digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada tahun 2009. Usaha MBMMBI di peringkat pendidikan rendah dan menengah sejujurnya dipuji, namun begitu, ia perlu diperluaskan sehingga ke peringkat tinggi kerana Bahasa Melayu juga mampu mengungkap ilmu-ilmu tinggi sekaligus mengembalikan kepercayaan bahawa bahasa ini punya upaya menjadi bahasa tinggi.  

Merdeka dan Kontradiksinya dengan Pemikiran Masyarakat 
Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dari aspek geopolitiknya selama lebih 50 tahun yang lalu, nyata sekali akal budi kebanyakan daripada masyarakat kita, terutamanya anak-anak muda masih dipasak teguh dengan penyembahan berlebihan kepada Barat, bukan saja dari aspek berfikir, ekonomi, kebudayaan, malah lebih jelas dalam aspek bahasa. Ini boleh dilihat secara jelas bahawa rata-ratanya masyarakat kita bersikap tidak endah dan seakan menerima tanpa mempersoalkan pembelajaran ilmu-ilmu di universiti dengan medium Bahasa Inggeris. Malah, hujahan kebanyakan para ahli akademia (baca: pensyarah universiti) untuk menerima saja penggunaaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penting yang tidak dapat dielakkan kerana (1) pengaruhnya sebagai bahasa antarabangsa yang bersifat prestij ekoran kesan globalisasi sedunia, (2) kekurangan buku-buku rujukan/ilmiah di dalam bahasa Melayu di samping (3) keupayaan bahasa Melayu dipersoalkan dalam mengungkap istilah-istilah sains dan teknologi, adalah hujahan-hujahan yang memalukan dunia akademik dan seolah seperti berselindung di sebalik kemalasan intelektual.
Rempuhan globalisasi di serantau pelosok dunia tidak dinafikan. Ini menuntut manusia memerlukan satu bahasa yang bersifat sejagat supaya dapat dikomunikasikan secara sempurna dengan semua bangsa manusia. Namun, ia bukanlah hujahan konkrit untuk memaksakan pembelajaran pelbagai cabang ilmu dalam Bahasa Inggeris kepada anak-anak bangsa sehingga menggadaikan bahasa ibunda. Sekiranya pada masa-masa akan datang, bahasa lain menggantikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, maka, apakah dasar pendidikan kita juga mahu digubal lagi bagi mengubah penguasaan dalam bahasa tersebut? 
Keterpesonaan masyarakat kita terhadap bangsa penjajah memang tampak jelas. Kemodenan sains dan teknologi Eropah mengelabui pemikiran kebanyakan daripada kita sebagai bangsa merdeka dalam menanggapi hal perihal kemajuan. Sekiranya kemajuan itu dimaknai atas dasar perkembangan sains dan teknologi semata, penulis kira ia adalah satu manifestasi yang sempit dan dangkal. Ilmu meliputi segenap aspek kehidupan, bukan sekadar diterjemahkan dalam cabang sains dan teknologi sahaja. Lebih penting lagi, pasakan ilmu-ilmu falsafah dan pemikiran, sosiologi, kebudayaan, sejarah dan peradaban dianggap tidak mempunyai kualiti dan sering dibakulsampahkan oleh mereka yang seringkali tercengang dengan pesona teknologi-teknologi moden Barat.
Laungan kemerdekaan yang mula-mula dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman seolah-olah kini satu retorika yang berpanjangan. Sudah jelas, roh merdeka tidak menyerap, tidak juga menyaluti melainkan satu hipokrasi yang sengaja ditonyoh-tonyoh ke dalam ruang epistemologi masyarakat. Seorang sarjana Afrika menjelaskan sebab dan akibat penerimaan secara pasif Bahasa Inggeris dalam kerangka berfikir (yakni dalam lingkungan perbahasan ilmu-ilmu tinggi) telah menyebabkan dua kesan yang signifikan iaitu (1) merencatkan perkembangan bangsa dan ini menjurus kepada (2) ketidakmampuan masyarakat berfikir hal-hal tinggi dalam bahasa sendiri di mana kedua-duanya adalah di bawah pengaruh kolonialisme[8]. Maka, tidak hairanlah jika tidak ramai anak muda yang mempunyai jati diri yang teguh dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi negara.  Ini sekaligus meyakinkan penulis bahawa salah satu faktor penyumbang kepada perubahan jati diri individu mahupun bangsa adalah kegagalan universiti itu sendiri dalam mendidik anak bangsa memahami hakikat jati dirinya sebagai masyarakat yang benar-benar merdeka.

Kesimpulan
            Sebagai konklusi kepada sebuah harapan, penulis menganggap kemerdekaan yang kita kecapi sekarang masih tidak mencapai merdeka dalam maksud yang hakiki. Hampir segenap ruang epistemologi masyarakat kita diserang dan dijajah oleh pihak British[9] terutamanya penyembahan melampau masyarakat kita terhadap Bahasa Inggeris sehinggakan sanggup menggadaikan bahasa yang menjadi sebahagian citra masyarakat kita. Akibatnya, Bahasa Melayu bukan sahaja direndahkan, tetapi peranan dan fungsinya juga semakin tenggelam dan ia sekadar dilihat sebagai bahasa pasar yang hanya layak dalam aspek kekeluargaan dan sembang santai sahaja.
            Dalam beberapa kekangan yang kita hadapi, harapan untuk mengembalikan semula Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi bukanlah harapan yang mustahil. Ia mungkin mengambil masa yang panjang dan kerja keras serta penanaman keyakinan dari pelbagai pihak. Namun, langkah pertama yang boleh dilaksanakan oleh pihak pemerintah adalah menggubal semula dasar pengajian tinggi dengan mengembalikan Bahasa Melayu ke dewan-dewan kuliah di universiti, dan dalam masa yang sama aktiviti penterjemahan mestilah rancak dilakukan oleh para ahli akademik. Pengembalian Bahasa Melayu ke peringkat universiti akan sekaligus merancakkan percambahan idea dan nilai, wahana ilmu dan pemikiran serta meluaskan peranan persuratan Melayu tinggi kepada massa. Pemartabatan Bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi adalah langkah awal secara praktis untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai akar identiti yang kukuh sekaligus dapat memberi manfaat kepada masyarakat lainnya, ibarat pohonnya merendang ke luar angkasa, namun akar tetap tertanam jauh ke perut bumi. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Masakan individu yang adil dan merdeka akan terlahir sekiranya ciri-ciri penting jati diri bangsanya dilacur serta direndahkan peranannya dalam institusi kependidikan tinggi negara.





[1] Lihat Himpunan Keilmuan Muslim & Klasika Media, Makna, Falsafah dan Peranan Bahasa dalam Pendidikan Kebangsaan, (2012)
[2] Meneladeni falsafah ayam-telur, terdapat sanggahan dari ilmuwan lain bahawa bahasa tidak menciptakan kehidupan, tetapi kehidupanlah yang mewujudkan bahasa.
[3] Lihat Abdullah Hassan, Bahasa Melayu di Persimpangan: Antara Jati Diri dan Rempuhan Globalisasi, (2009)
[4] Sila baca Nordin Kardi, Konsep Universiti & Aplikasinya di Malaysia (2011)
[5] Lihat Siddiq Fadzil, Pendidikan al-Hikmah & Misi Pencerahan: Himpunan Pidato Kependidikan (2009)
[6] Lihat Harry R.Lewis, Excellence Without a Soul: Does Liberal Education Have a Future? (2006)
[7] Berita Harian, 23 Januari 2008
[8] Rujuk Harold R. Isaacs, Pemujaan Terhadap Kelompok Etnis Bahasa: Identitas Kelompok & Perubahan Politik, (1993)
[9] Lihat Abdullah Hassan; Bahasa Melayu di Persimpangan: Antara Jati Diri dan Rempuhan Globalisasi (2009)

Engkau mungkin ...

Engkau mungkin tidak tahu
Tidak terjangkau apa yang kau mahu
Betapa aku kutip sabar itu satu persatu
Di bumi asing aku pemalu
Pada Tuhanku dan Tuhanmu

Engkau mungkin tidak rasa
Tidak terjangkau apa yang kau teka
Betapa aku kutip cekal itu bersama
Di bumi asing aku perasa
Pada Tuhanku dan Tuhan kita

Engkau tidak sekali akan terfikir
Tidak terjangkau apa yang kau mahir
Betapa aku kutip kerendahan hati dan berfikir
Di bumi asing aku fakir
Pada Tuhanku, Tuhan yang tidak pernah kikir


:: Glasgow, 20 Syaaban 1435H

Bersamaan 18 Jun 2014