Thursday, 11 June 2015

Lepaskan dan Damaikan Hatimu

Saat engkau rasa dendam, benci dan sakit hati, engkau tidak tahu betapa kusutnya rasa ikatan kebencian bersimpul penuh, seakan tidak boleh dirungkai lagi. Dan saat itu, semua cinta yang pernah kau luahkan perlahan-perlahan menjadi satu titik hitam besar yang tak terbayangkan pekatnya. Enam purnama berlalu dan kau masih mengeram rasa dendam, mengerang-erang pada malam-malam mu, menjadikan kau manusia yang seolah tidak punya pilihan.


Lepaskan. 

Kau masih memegang kerana kau tidak ingin melepaskan apa yang bukan punya mu. Kerna itu, hidup kau masih menangisi harapan, masih bertaut pada dahan yang rapuh sungguh dan dirimu gersang sehingga kering dari air cita-cita.

Lepaskan. 

Jika kau tidak ingin jatuh pada lembah dendam dan kebencian, sesakit mana pun jiwa, lepaskan. Kerna itu bakal membuatkan mu lebih tenang, mahu akur pada ketetapan Tuhan. Dan percayakan bahawa cintamu akan mula tumbuh semula, pada dahan yang lebih kuat, ampuh dan bakal menyelimutimu dengan dedaunan yang lebih hijau dan segar.




Lepaskan dan damaikan hatimu sendiri.