“Adalah
suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu
ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia
tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar
bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh
menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini
masing-masing ada belajar bahasanya?”
Abdullah
Munsyi (1882); Hikayat Abdullah
Perihal
pemartabatan Bahasa Melayu bagi menjadikannya sebagai bahasa tinggi bukanlah satu cetusan idea yang
baru. Namun, isunya yang kadang tenggelam-timbul dan diselang-seli desakan dari
pakar-pakar bahasa, segelintir ahli akademia kecil dan sekumpulan kecil
masyarakat awam, menunjukkan bahawa perihal mengangkat darjat bahasa ini ke
tempat yang selayaknya tidak pernah diambil perhatian serius oleh pimpinan kerajaan.
Ironinya, masyarakat kita selalu benar disogok dengan peneguhan jati diri
bangsa Melayu dengan hanya sekadar salutan ciri fizikal dari luar tanpa
penerapan nilai dan budaya sebagai intinya. Akibatnya, kita tidak pernah akan
berjaya mendidik bangsa kita menjadi bangsa yang unggul dan merdeka sifatnya,
maka selamanya kita akan terperangkap dalam kerangka “pengguna” ilmu dan
membontoti falsafah pemikiran ilmu asing secara membuta-tuli.
Sebelum mengulas lebih panjang,
penulis ingin memberi pendefinisian beberapa kata kunci dalam skop yang mahu
dibahaskan. Bahasa adalah medium penyampaian dan komunikasi manusia, di mana
insan boleh menterjemahkan inti pemikirannya dan kerangka alam bangsanya melalui
bahasa yang dipertuturkan[1]. Sapir-Whorf pula mengatakan
bahawa bahasa berfungsi untuk mendefinisikan kehidupan manusia itu sendiri,
bukan sekadar menjadi alat untuk berkomunikasi dalam kehidupan[2]. Penulis berpendapat
bahawa setiap bahasa adalah unik dan memiliki ketinggian nilainya yang
tersendiri dan bisa mengungkap pandang alam sesuatu bangsa tersebut. Ini kerana,
bahasa manusia adalah salah satu ciri yang membentuk jati diri individu[3] yang diilhami oleh Tuhan sekaligus
membezakannya dengan haiwan yang tidak berakal.
Istilah
“universiti” pula digunapakai secara meluas pada dasawarsa ini memperlihatkan
sebuah pusat kecendekiawanan yang padanya dipusatkan segala ilmu pengetahuan
dalam pelbagai cabang. Namun, perlu dijelaskan bahawa universiti tidaklah
tertakluk semata hanya kepada ciri fizikal sebuah institusi lengkap dengan
prasarana awam seperti mana yang difahami sekarang. Universiti adalah tempat aktiviti
keilmuan dibincangkan, dipelajari dan didalami oleh sekumpulan individu[4] yang mahu berfikir. Oleh
yang demikian, universiti dan hal keilmuan tidak dapat dipisahkan dan tidak
boleh dibicarakan secara terasing. Meskipun universiti-universiti di Malaysia sedang
menghadapi krisis berat dalam hal politisasi dan komersialisasi[5] dan ini sedikit sebanyak
telah mencalar perihal keilmuan universiti, ia tetap dianggap sebagai kubu
intelektual dan pusat pembinaan jiwa-jiwa muda yang laparkan ilmu. Universiti sebagai
sebuah pusat ilmu bukan sahaja berperanan dalam pengkajian ilmiah dan
pencapahan ilmu-ilmu dalam membangunkan negara bangsa, malah tanggungjawab
utama universiti yang sering dilupakan ialah membantu anak-anak muda negara mencapai
proses kematangan, mengenal dan memahami hakikat jati diri[6], sekaligus menjadi manusia
merdeka. Erti “merdeka” pula dari segi bahasanya adalah bebas, tidak terikat
dan tidak dibelengu mana-mana kuasa asing. Secara istilahnya, rata-rata
memahami makna merdeka adalah kebebasan negara daripada kuasa asing dalam aspek
geografi, pemerintahan dan dasar ketenteraan atau secara ringkasnya
dekolonisasi. Persoalan-persoalan tentang merdeka dan perihal kemerdekaan
bukanlah satu perkara baru dalam akal budi masyarakat yang sedar. Sebagai
contohnya, ramai yang mencabar makna merdeka dari aspek hak asasi dan demokrasi,
pengamalan agama-agama lain selain Islam dan pelbagai lagi. Ini meruntun
penulis supaya mendefinisikan semula makna merdeka dari sudut yang penulis
fahami. Selain aspek geopolitik secara fizikal, penulis berpendapat bahawa
merdeka haruslah diberi maknanya meliputi seluruh ruang epistemologi masyarakat
kita, dalam ruang lingkup yang lebih luas merangkumi sisi ekonomi, sosial,
pendidikan, kebudayaan dan bahasa. Dengan kata lainnya, untuk merdeka, sistem
kita haruslah dibina atas pemikiran dan falsafah tulen masyarakat kita.
Melihat
kepada 3 perkataan yang didefinisikan tadi, inilah skop yang mahu penulis bahaskan,
bahawa Bahasa Melayu perlu diangkat menjadi bahasa pengantar utama di
universiti-universiti secara praktisnya dan dijadikan bahasa ilmu secara
konseptualnya dalam ruang lingkup yang lebih besar seiring dengan laungan
merdeka secara hakikatnya.
Sorotan Bahasa Melayu dalam Sistem
Pendidikan Negara
Sebelum Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan geopolitiknya pada tahun 1957, beberapa usaha seperti Laporan
Barnes yang melahirkan penggubalan Ordinan Pelajaran 1952 dan seterusnya Laporan
Penyata Razak 1956 ditubuhkan bagi mengkaji semula sistem pendidikan di Tanah
Melayu dan mengasaskan perlaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan, memperlihatkan
kesungguhan yang meyakinkan dalam meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar di sekolah-sekolah rendah dan menengah. Ini diikuti dengan
penggubalan Akta Pelajaran 1961 era pasca merdeka yang bertujuan untuk
melahirkan masyarakat majmuk yang bersatu-padu. Oleh yang demikian, akta ini
menggariskan (1) Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua
peringkat pendidikan, serta (2) penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama
bagi semua sekolah.
Pemartabatan
Bahasa Melayu juga tidak sekadar terhenti di peringkat rendah dan menengah,
tetapi dirancakkan ke peringkat tinggi. Umum mengetahui, penubuhan Badan
Penterjemah di Pejabat Karang-Mengarang, Sultan Idris Training College di era
1920-an hingga penghujung 1960-an meninggalkan kesan besar dalam arena
penterjemahan dan persuratan Melayu[7]. Sehinggalah menjelang era
Dasar Ekonomi Baru (DEB) sekitar tahun-tahun 1971-1990, Bahasa Melayu menjadi
bahasa pengantar sepenuhnya secara sempurna dari peringkat rendah hinggalah ke
pengajian tinggi melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bukan sahaja sebagai
bahasa pengantar, malah, Bahasa Melayu dijadikan salah satu jurusan pengajian
(sejarah, linguistik dan budaya) di universiti-universiti awam Malaysia.
Namun,
dalam rempuhan globalisasi pada era-era sains dan teknologi, Bahasa Melayu
kehilangan fungsinya apabila kerajaan melaksanakan dasar Pembelajaran &
Pengajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada awal tahun
2003. Tindakan ini seperti melacurkan bahasa ibunda hanya kerana pesona sains
dan teknologi terhadap Barat. Pengalaman selama 7 tahun dalam dasar ini telah
mengakibatkan tidak sedikit anak-anak
bangsa yang keciciran pelajaran terutamanya dalam matapelajaran Sains dan
Matematik. Akhirnya, dasar PPSMI dimansuhkan dan digantikan dengan dasar
Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada tahun
2009. Usaha MBMMBI di peringkat pendidikan rendah dan menengah sejujurnya
dipuji, namun begitu, ia perlu diperluaskan sehingga ke peringkat tinggi kerana
Bahasa Melayu juga mampu mengungkap ilmu-ilmu tinggi sekaligus mengembalikan
kepercayaan bahawa bahasa ini punya upaya menjadi bahasa tinggi.
Merdeka dan Kontradiksinya dengan
Pemikiran Masyarakat
Dalam
konteks Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dari aspek geopolitiknya selama
lebih 50 tahun yang lalu, nyata sekali akal budi kebanyakan daripada masyarakat
kita, terutamanya anak-anak muda masih dipasak teguh dengan penyembahan
berlebihan kepada Barat, bukan saja dari aspek berfikir, ekonomi, kebudayaan,
malah lebih jelas dalam aspek bahasa. Ini boleh dilihat secara jelas bahawa
rata-ratanya masyarakat kita bersikap tidak endah dan seakan menerima tanpa
mempersoalkan pembelajaran ilmu-ilmu di universiti dengan medium Bahasa
Inggeris. Malah, hujahan kebanyakan para ahli akademia (baca: pensyarah
universiti) untuk menerima saja penggunaaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa
penting yang tidak dapat dielakkan kerana (1) pengaruhnya sebagai bahasa
antarabangsa yang bersifat prestij ekoran kesan globalisasi sedunia, (2)
kekurangan buku-buku rujukan/ilmiah di dalam bahasa Melayu di samping (3)
keupayaan bahasa Melayu dipersoalkan dalam mengungkap istilah-istilah sains dan
teknologi, adalah hujahan-hujahan yang memalukan dunia akademik dan seolah
seperti berselindung di sebalik kemalasan intelektual.
Rempuhan
globalisasi di serantau pelosok dunia tidak dinafikan. Ini menuntut manusia
memerlukan satu bahasa yang bersifat sejagat supaya dapat dikomunikasikan
secara sempurna dengan semua bangsa manusia. Namun, ia bukanlah hujahan konkrit
untuk memaksakan pembelajaran pelbagai cabang ilmu dalam Bahasa Inggeris kepada
anak-anak bangsa sehingga menggadaikan bahasa ibunda. Sekiranya pada masa-masa
akan datang, bahasa lain menggantikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu,
maka, apakah dasar pendidikan kita juga mahu digubal lagi bagi mengubah
penguasaan dalam bahasa tersebut?
Keterpesonaan
masyarakat kita terhadap bangsa penjajah memang tampak jelas. Kemodenan sains
dan teknologi Eropah mengelabui pemikiran kebanyakan daripada kita sebagai
bangsa merdeka dalam menanggapi hal perihal kemajuan. Sekiranya kemajuan itu
dimaknai atas dasar perkembangan sains dan teknologi semata, penulis kira ia
adalah satu manifestasi yang sempit dan dangkal. Ilmu meliputi segenap aspek
kehidupan, bukan sekadar diterjemahkan dalam cabang sains dan teknologi sahaja.
Lebih penting lagi, pasakan ilmu-ilmu falsafah dan pemikiran, sosiologi,
kebudayaan, sejarah dan peradaban dianggap tidak mempunyai kualiti dan sering dibakulsampahkan
oleh mereka yang seringkali tercengang dengan pesona teknologi-teknologi moden
Barat.
Laungan
kemerdekaan yang mula-mula dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman seolah-olah kini
satu retorika yang berpanjangan. Sudah jelas, roh merdeka tidak menyerap, tidak
juga menyaluti melainkan satu hipokrasi yang sengaja ditonyoh-tonyoh ke dalam
ruang epistemologi masyarakat. Seorang sarjana Afrika menjelaskan sebab dan
akibat penerimaan secara pasif Bahasa Inggeris dalam kerangka berfikir (yakni
dalam lingkungan perbahasan ilmu-ilmu tinggi) telah menyebabkan dua kesan yang
signifikan iaitu (1) merencatkan perkembangan bangsa dan ini menjurus kepada
(2) ketidakmampuan masyarakat berfikir hal-hal tinggi dalam bahasa sendiri di
mana kedua-duanya adalah di bawah pengaruh kolonialisme[8]. Maka, tidak hairanlah
jika tidak ramai anak muda yang mempunyai jati diri yang teguh dilahirkan oleh
institusi pengajian tinggi negara. Ini
sekaligus meyakinkan penulis bahawa salah satu faktor penyumbang kepada perubahan
jati diri individu mahupun bangsa adalah kegagalan universiti itu sendiri dalam
mendidik anak bangsa memahami hakikat jati dirinya sebagai masyarakat yang
benar-benar merdeka.
Kesimpulan
Sebagai konklusi kepada sebuah
harapan, penulis menganggap kemerdekaan yang kita kecapi sekarang masih tidak
mencapai merdeka dalam maksud yang hakiki. Hampir segenap ruang epistemologi
masyarakat kita diserang dan dijajah oleh pihak British[9] terutamanya penyembahan
melampau masyarakat kita terhadap Bahasa Inggeris sehinggakan sanggup
menggadaikan bahasa yang menjadi sebahagian citra masyarakat kita. Akibatnya,
Bahasa Melayu bukan sahaja direndahkan, tetapi peranan dan fungsinya juga
semakin tenggelam dan ia sekadar dilihat sebagai bahasa pasar yang hanya layak
dalam aspek kekeluargaan dan sembang santai sahaja.
Dalam beberapa kekangan yang kita
hadapi, harapan untuk mengembalikan semula Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu
tinggi bukanlah harapan yang mustahil. Ia mungkin mengambil masa yang panjang
dan kerja keras serta penanaman keyakinan dari pelbagai pihak. Namun, langkah
pertama yang boleh dilaksanakan oleh pihak pemerintah adalah menggubal semula
dasar pengajian tinggi dengan mengembalikan Bahasa Melayu ke dewan-dewan kuliah
di universiti, dan dalam masa yang sama aktiviti penterjemahan mestilah rancak
dilakukan oleh para ahli akademik. Pengembalian Bahasa Melayu ke peringkat
universiti akan sekaligus merancakkan percambahan idea dan nilai, wahana ilmu
dan pemikiran serta meluaskan peranan persuratan Melayu tinggi kepada massa.
Pemartabatan Bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi adalah langkah awal
secara praktis untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai akar identiti yang
kukuh sekaligus dapat memberi manfaat kepada masyarakat lainnya, ibarat
pohonnya merendang ke luar angkasa, namun akar tetap tertanam jauh ke perut
bumi. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara bagi melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Masakan
individu yang adil dan merdeka akan terlahir sekiranya ciri-ciri penting jati
diri bangsanya dilacur serta direndahkan peranannya dalam institusi
kependidikan tinggi negara.
[1] Lihat Himpunan Keilmuan Muslim &
Klasika Media, Makna, Falsafah dan Peranan Bahasa dalam Pendidikan Kebangsaan,
(2012)
[2] Meneladeni falsafah ayam-telur,
terdapat sanggahan dari ilmuwan lain bahawa bahasa tidak menciptakan kehidupan,
tetapi kehidupanlah yang mewujudkan bahasa.
[3] Lihat Abdullah Hassan, Bahasa Melayu
di Persimpangan: Antara Jati Diri dan Rempuhan Globalisasi, (2009)
[4] Sila baca Nordin Kardi, Konsep
Universiti & Aplikasinya di Malaysia (2011)
[5] Lihat Siddiq Fadzil, Pendidikan
al-Hikmah & Misi Pencerahan: Himpunan Pidato Kependidikan (2009)
[6] Lihat Harry R.Lewis, Excellence
Without a Soul: Does Liberal Education Have a Future? (2006)
[7] Berita Harian, 23 Januari 2008
[8] Rujuk Harold R. Isaacs, Pemujaan
Terhadap Kelompok Etnis Bahasa: Identitas Kelompok & Perubahan Politik,
(1993)
[9] Lihat Abdullah Hassan; Bahasa Melayu
di Persimpangan: Antara Jati Diri dan Rempuhan Globalisasi (2009)
No comments:
Post a Comment