Dia berlari anak, tangkas langkahnya
menaiki tangga. Dadanya berombak, jelas nafasnya kedengaran menghela sambil
matanya meliar, mencari kelibat temannya di sekitar perpustakaan itu. Nah! Di
celahan rak buku, dia terlihat Nuraisya, gadis kecil yang kelihatan lucu
terjengket-jengket mencapai buku di rak yang tinggi. Segera dia meluru, menarik
tangan Nuraisya. Tidak sampai 2 minit, dia dan Nuraisya sudah duduk-duduk di
meja tersorok hujung sekali, jauh dari siswa lain yang sedang enak membaca di
ruangan awam yang terbuka.
“Aku buntu”
Dia melepaskan dengan hela nafas yang
berat. Ada sisa air mata di hujung kelopak. Nuraisya mengerut dahi seakan
bertanya mengapa.
“Keputusan peperiksaanku untuk subjek Islamic Economy ditandai D oleh Dr
Ahmed. Hanya kerana aku selalu menyanggah hujahnya di kuliah? Tak rasional
langsung!”. Marahnya berapi.
“Kau mahu nasihat, atau kau mahu aku
hanya mendengar?” Lambat-lambat butir perkataan keluar dari mulut Nuraisya.
“Keduanya”.
Nuraisya memperkemaskan letak duduknya,
menghadap dengan benar sekali.
“Kau tahu, Imam Ghazali mengatakan
sabar adalah ciri khas milik manusia dan tidak dimiliki oleh haiwan atas
sifat-sifat kekurangannya, dan tidak pula dimiliki oleh malaikat atas
sifat-sifat kesempurnaannya sebagai hamba yang paling taat kepada Allah”.
“Dari mana kau cedoknya?”
“Ihya’ Ulumuddin”.
“Maka, maksud kau, sabar itu sifat
istimewa bagi manusia?”
“Ia bukan saja istimewa. Tapi, ia
menunjukkan bahawa kau manusia, bukan malaikat atau binatang”.
“Tajam benar kau menasihati” Dia
mencebik bibir sambil memandang ke luar tingkap pustaka itu. Sesekali mengelap
sisa air mata dengan hujung jarinya.
“Mahu dengar lagi?” Nuraisya sekadar
berbasa-basi meminta perhatian.
“Mendengar”
“Kau tahu, di kuliah aku tadi, Syaikh Dr ‘Amr el Wardany ada mensyarahkan tentang sabar”
“Lalu, apa sabar menurutnya?”
“Kata Syaikh,
sabar itu ada 3 pecah, sabar melakukan taat, sabar meninggalkan maksiat dan
sabar dengan takdir yang menguji. Aku fikir kau perlu aplikasikan sabar yang
ketiga, di samping kau terus juga berjuang untuk nyatakan kebenaran, bukan
sabar semberono jika ada yang mahu menindas. Bukankah kau juga sering
ulang-ulang kata Soe Hok Gie itu?”
“Kata yang mana?” Tanyanya kebodohan.
“Apa yang lebih puitis selain bicara
tentang kebenaran!”
Sengaja Nuraisya menekankan sedikit perkataan ‘kebenaran’ itu, geram melihat
temannya sedikit terpinga-pinga kebodohan, walhal itulah ungkapan yang sering
saja diucap-ucap.
Ada beberapa pasang mata di celah-celah
rak buku itu tertoleh ke arah mereka dengan riak wajah memberi amaran untuk
diam. Segera Nuraisya tersengih seraya mengangkat tangan, bicara memohon maaf
secara bisu.
“Jadi, kau mahu aku berjumpa Dr Ahmed
dan bicara padanya, bahawa jawapanku walau tidak selari dengannya, adalah
jawapan yang layak juga mendapat markah yang sepatutnya?”
“Kau tidak perlu bertanya itu kepadaku.
Ya, terserah. Tindakan itu bergantung kepada kau. Tapi, fikiran kau hendaknya
perlu bersih dahulu jika kau mahu bicara padanya”. Suara Nuraisya kendur
semula.
“Maksud kau?”
“Beliau guru, kau tetap anak. Walau khilaf sejauh mana pun beliau, menurut
pendapat kau, kau perlu ada adab berhadapan dengannya, lagi pula ia melibatkan
hal ilmu, bukan perang emosi tak menentu. Itu aku kira jelas”.
Dia menarik muka, sekali lagi mencebik
bibir, lalu berkata;
“Ah! Beliau sendiri kurang adil dalam
memberi markah. Masakan jawapanku tidak kena pada fikirannya terus dirasakan
salah 100 peratus, sedangkan… sedangkan bidang ini masih banyak ruang lingkup
perbahasan yang belum selesai, dan jawapanku adalah salah satu perbahasan untuk
mengimbangi!”.
Marahnya kembali datang. Kecamuk
fikirannya. Manakan tidak, jika difikir-fikir, masakan dia boleh bergraduasi
tahun ini jika subjek tersebut perlu diulang ambil semester hadapan kerana ia
subjek ‘istimewa’ yang secara teknikalnya wajib lulus dengan keputusan minimum
B minus. Itu perjanjian fakultinya
dengan satu badan pendidikan profesional dalam bidangnya. Bukan itu sahaja
punca marahnya, yang lebih besar lagi, adalah keterbukaan seorang guru untuk
dikritik dan berbeda pendapat dengan muridnya, itu yang harus dipersoal. Terngiang
pula di telinganya catatan Soe Hok Gie yang juga sebal dengan gurunya,
“Guru yang tak tahan kritik, boleh
masuk keranjang sampah”. Lagi pun, guru bukan dewa dan selalu benar, murid
bukan kerbau.
Monolognya sendirian, mencari hujah menyokong punca marahnya.
Dia memandang sekeliling bagi memastikan
suaranya tidak mengganggu. Kelihatan seorang dua pelajar sedang memegang
beberapa buah buku di rak-rak itu, ada yang tercangak, mendongak-dongak mencari nombor siri buku di sekitar. Nun di
sana pula ada siswa lelaki Melayu sedang membaca, tenggelam dalam dunia sendiri
dengan buku “What is Wrong with Islamic
Economics” karya M. Akram Khan. Dia ingat sangat, dia pernah membacanya
beberapa bulan lepas. Masakan tidak, dengan hujah Akram Khan lah dia
menempeknya dalam jawapan peperiksaannya yang mana berlawanan prinsip itu
dengan pensyarah Islamic Economic nya.
Matanya berakhir ke Nuraisya, dan dia membuka mulut setelah diam agak lama.
“Tidakkah dengan berbeza pendapat akan
mengembangkan lagi idea fikiran? Bukankah kerana pandangan dan kritikan
Aristotle pada teori Plato, sang gurunya itu, tentang idea, telah memunculkan
satu pemikiran baru dan pengembangan sains? Nah! Itu menunjukkan bahawa
perbezaan pendapat membawa kepada pengembangan ilmu! Dr Ahmed tidak berhak
menentukan apa yang benar dan apa yang salah di waktu perbahasan dalam bidang
ini masih menjadi tanda tanya. Aku cuma mahu mewujudkan budaya kritis ilmu,
yang seringkali kita sudah lupakan dalam kuliah-kuliah kita!” Marahnya makin
berapi, mencerlang matanya merenung Nuraisya di hadapan.
“Inilah yang aku risaukan”.
“Apa?” Lekas sungguh dia bertanya.
“Juang kau itu bernada salah. Kau ingin
bertindak dengan jalan yang tidak patut, walaupun niat kau benar”
“Sebentar tadi kau suruh aku tidak
harus diam. Kemudian kau katakan tindakan aku salah pula”. Dia menyimpul
kata-kata Nuraisya dari awal. Meminta penjelasan.
“Benar. Aku tidak suruh kau diam dan kononnya bersabar menerima takdir, bahawa kau tidak mungkin bergraduasi tahun ini. Tapi, aku
juga tidak minta kau tegakkan kebenaran dengan jalan marah dan tiada adab. Itu
jelas aku kira. Dan nada kau sebentar tadi penuh rasa ego di dada ”.
Nuraisya kelihatan serius, kemudian
menyambung lagi;
“Amat kontradik bagi seseorang yang
mencintai kebenaran tetapi bersikap seolah-olah membenci jalan yang membawa
kepada kebenaran itu sendiri. Di mana sikap kau?”. Nuraisya sedikit menyindir.
“Jadi, sikap aku yang keras selama ini
salah? Aku berusaha menelaah semata-mata untuk melawan kesalahfahaman dalam
bidang aku. Bukankah itu satu bukti kecintaan?”
“Nah! Jika selama ini kau menelaah
kerana mahu melawan dengan rasa emosi yang meluap-luap, aku fikir kau sudah
jauh dari tujuan pendidikan itu sendiri. Kerana itu, kita ummat yang telah
kehilangan adab pada disiplin ilmu dan guru. Kita menelaah bukan untuk melawan,
tapi untuk tahu, faham dan fikir penyelesaian”. Nuraisya bersuara halus dengan
pernyataan yang agak tegas.
“Lalu, menurut kau apa tujuan
pendidikan, kalau aku dihalang untuk melawan?” Dia bertanya untuk sekadar
memancing angin Nuraisya, kemudian bersuara lagi;
“Apa yang diajar oleh
pensyarah-pensyarah dan guru-guru sekolah tidaklah semuanya harus ditelan
sahaja, melainkan perlu disaring, ditapis berkali-kali. Lagi pula, pada zaman
sekarang, ilmu sudah pun bercampur dengan segala macam pengaruh ideologi dan
tamadun, sudah tidak tulen lagi. Sistem pendidikan kita sudah bobrok tahu”.
“Tidak ada pun halangan untuk kau dan
guru kau berbeza pendapat”.
“Jadi?” Dia segera memintas dan
tersenyum mengejek, seakan rasa menang.
“Namun, perlu diperhatikan bahawa
telaah kita bukan untuk melawan tidak tentu hala. Itu beda! Ya! Aku setuju saja
bahawa tidak semuanya kita harus serap semberono. Kerana tujuan pendidikan itu
sendiri adalah untuk memastikan perkembangan fizikal insan bertumbuh dengan
baik, di samping pertumbuhan intelek juga dimasukkan ke dalamnya. Lagi pula,
perkembangan intelek itu kita peroleh dari pemupukan sifat berfikir. Akal itu,
menurut Hamka seperti yang disebut dalam Tasawuf Moden, perlu bekerja keras
untuk menentukan kebaikan dan keburukan atau keadilan dan kezaliman. Al-Quran
juga menjelaskan hal yang sama. Masakan kau lupa kuliah tafsir yang kita hadiri
bulan lepas? Kata ustaz, konsep ya’qilun,
yatafakkarun dan yatadabbarun memperlihatkan kepada kita bahawa Islam menekankan
aktiviti berfikir, berfikir secara mendalam dan berfikir untuk meraih kebenaran
tentang Pencipta”.
Nuraisya senyum, berhenti sejenak
cuba-cuba melihat reaksi dia, menghela nafas dan kembali bersuara;
“Dan tujuan pendidikan yang ketiga
menurut Islam adalah untuk pembangunan spiritual insan, meliputi dimensi
keimanan dan fitrah manusia. Keduanya berkait rapat dalam penyerahan diri
kepada Tuhan, meyakini dan merealitikannya melalui akhlak yang baik.
Ketiga-tiga tujuan yang aku sebutkan tadi akhirnya akan membawa kita kepada
tujuan yang paling utama aku kira, iaitu memastikan pertumbuhan dan
perkembangan peribadi yang seimbang. Seperti yang Al-Attas sebutkan, tujuan
pendidikan adalah untuk melahirkan insan yang baik, di mana semua potensi
seseorang dibangunkan secara seimbang dan dibentuk untuk menjadi bukan sahaja khalifah, tetapi juga berjiwa hamba!”.
Nuraisya mengembalikan paku buah
kerasnya. Pada Nuraisya, seseorang yang berilmu itu lembut peribadinya dan
molek sifatnya kerana ilmu itu sendiri bersifat menyuluh kepada jalan
kebenaran. Jika benar seseorang itu mengaku berilmu, maka rasionalnya ia akan
menterjemahkannya dalam bentuk peribadi diri seseorang itu. Dan melawan membabi
buta dengan tiada adab, semestinya bukan cara kita.
Dia termangu, berfikir-fikir dan
mengerut dahinya. Matanya kadang mencerun ke arah Nuraisya.
“Maka, menurut kau, bagaimana aku
bersikap selama ini?” Suaranya mengendur, rasa kalah barangkali.
“Aku bukan siapa-siapa untuk menghakimi
sikap kau. Jika apa yang aku katakan sebentar tadi buat kau rasa terpukul,
semestinya kau sendiri telah tahu bagaimana kau bersikap dengan guru kau”.
Nuraisya menjawab halus,
mendatar.
Dia diam. Bungkam. Sikapnya yang selama
ini terburu-buru melawan, berhujah dengan sebebasnya, egonya tinggi
kadang-kadang menghujam pendapat gurunya. Sampaikan, seringkali dia mempamerkan
sikap yang tidak-tidak terhadap Dr Ahmed, bukan sikap seorang murid pastinya.
Bukan itu sahaja, selalu juga dia mengejek-ejek sarjana lain yang
tidak sependapat.
Ah! kata Nuraisya sangat menyentap, mencerah fikrahnya, bahawa apa yang ditelaah selama ini tidak
menjadikannya seorang yang berbudi dan berjiwa hamba, jauh sekali layak untuk
menjadi pemimpin.
“Kita anak muda, mudah saja
terpengaruh, cepat terkagum pada sikap Barat yang mahu rasa lepas bebas memberi
pendapat. Jika mereka membaca untuk melawan, kita membaca dengan nama Tuhan.
Itu beda”. Nuraisya seraya memujuk. Dia masih diam.
“Tenang. Telaah”. Nuraisya menoktahkan.
No comments:
Post a Comment